Lagi peringatan jangan jadikan masjid pentas politik, Sultan Pahang tegur siapa?
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya semua penceramah agama dan pemegang tauliah negeri itu tidak menjadikan masjid sebagai pentas menyebarkan dakyah politik.
Baginda mahu masjid kekal sebagai tempat yang aman dan selamat bagi semua tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
Baginda Al Sultan memberi peringatan tegas itu pada Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) hari ini.
“Hari ini juga saya ingin memberikan peringatan tegas kepada semua pemegang tauliah mengajar di Pahang agar tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik.
“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan perpaduan umat Islam, bukan ruang untuk menyebarkan kebencian atau fitnah
“Dalam hal ini, alim ulama, asatizah dan penceramah harus menjadi contoh yang baik menunjukkan teladan dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman masyarakat,” titah baginda memetik Kosmo!.
Al Sultan Abdullah turut menyinggung perihal ajaran sesat yang boleh mencemari kesucian agama Islam, selain berpotensi memecahbelahkan perpaduan umat.
Baginda bertitah, penyimpangan akidah adalah ancaman serius yang tidak boleh dipandang remeh kerana ia ibarat ‘api dalam sekam’ dan boleh marak tanpa disedari.
“Sesungguhnya nabi Muhamad telah diutuskan bagi membawa ajaran Islam yang sebenar.
“Namun dalam dunia akhir zaman ini, fitnah dan kekeliruan bermaharajalela menyebabkan umat mudah terjerumus dalam ajaran-ajaran yang menyeleweng,”titahnya menurut laporan.
Dalam pada itu, baginda bertitah dalam isu ajaran agama sesat di negeri ini, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Mufti serta pihak berkuasa terbabit perlu mengambil langkah proaktif yang mana pencegahan dan penguatkuasaan perlu diperkasakan untuk melindungi masyarakat daripada ajaran-ajaran yang menyesatkan.