PMX rasmi kilang Proton di Mesir, bawa pemikiran baharu kerjasama dua negara

Pelancaran pengoperasian kilang pemasangan unit komponen terurai (CKD) Proton Saga di Kaherah adalah sebahagian daripada usaha Malaysia membawa cara pemikiran baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Proton bukan hanya industri automotif di Malaysia, malah ia adalah kebanggaan negara dan terkenal di peringkat antarabangsa.

“Hari terakhir di Kaherah saya berkesempatan melancarkan pengoperasian kilang CKD kereta Proton Saga yang dijangka mula beroperasi Disember tahun ini.

“Keberadaan Malaysia di Mesir ini adalah sebagai rakan kongsi berdasarkan kepercayaan dan persahabatan yang lama terjalin.

“Adalah diharapkan supaya ianya dapat membuka pintu ke pasaran Afrika Utara,” katanya dalam kemaskini terbaharu di Facebook.

Perdana Menteri berkata, rancangan pengeluaran bagi kilang pemasangan kereta Proton Saga akan menghasilkan kira-kira 16,000 unit antara tahun 2024 hingga 2026, yang disasar menjana pendapatan sekitar RM570 juta.

Sebanyak RM20 juta pendapatan lagi dijangka dijana melalui jualan alat-alat ganti bagi menyokong perkhidmatan.

“Semoga lebih banyak peluang dan ruang buat syarikat Malaysia menjalinkan kerjasama dengan pihak Mesir, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

BACA JUGA ‘Saya dah bincang dengan Zahid sebelum bertindak isu NAFAS’

Â