Kelab malam di Golok jadi tumpuan anak muda Kelantan berhibur – MP Thailand

Rakyat Malaysia kebanyakannya anak muda berasal dari Kelantan paling ramai datang ke pekan Golok pada hujung minggu untuk berhibur di kelab malam dan tempat hiburan yang ada di pekan itu.

Lebih daripada 40 pusat hiburan di bandar Golok menjadi tumpuan pengunjung Kelantan berdasarkan dialek mereka, dan kebanyakannya memilih kelab malam yang beroperasi dalam hotel-hotel di kawasan tersebut.

Menurut NST yang melaporkan ucapan Ahli parlimen daerah Golok dan Takbai Narathiwat, Amin Mat Yusof, ramai rakyat Malaysia lebih suka kelab malam yang beroperasi di hotel untuk keselesaan dan kemudahan mereka.

“Terdapat banyak pusat hiburan di sini, sebab itu Golok menarik minat orang Kelantan. Kami akui ramai yang datang ke sini terutamanya untuk berseronok dan bersantai.

“Namun, ada juga yang datang semata-mata untuk menjamu selera. Keluar untuk berhibur tidak semestinya mereka terlibat dalam aktiviti haram seperti penggunaan dadah. Mereka datang semata-mata untuk berseronok,” katanya memetik portal berbahasa Inggeris itu.

Minggu lalu, pihak berkuasa tempatan menjalankan operasi bersama menyasarkan tempat hiburan dan kelab malam berdaftar berikutan penahanan enam rakyat Malaysia dan rampasan 6,000 pil yaba.

Seorang daripada yang ditahan ialah penyanyi dikir barat wanita dari Kelantan, yang menyebabkan isu ini menarik perhatian lebih besar dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu Amin berkata, operasi ini bagi mengingatkan semua pemilik venue supaya tidak membenarkan aktiviti penyalahgunaan dadah di kelab malam mereka

“Kami juga telah memberi amaran kepada mereka jika dadah ditemui, lesen operasi mereka akan digantung selama lima tahun,” ujarnya seperti dilapor.

Tambahnya, adalah penting untuk tidak menilai keseluruhan industri berdasarkan tindakan segelintir individu, kerana ia boleh menjejaskan ekonomi tempatan.

“Isu tangkapan warga Malaysia bukanlah perkara baharu, tetapi kali ini ia lebih mendapat perhatian kerana salah seorang yang ditahan adalah seorang penyanyi,” katanya lagi.

Sejak operasi itu, terdapat penurunan ketara dalam bilangan pengunjung di kelab malam di kawasan itu, malah ada yang terpaksa beratur untuk masuk.

BACA JUGA Wan Fayhsal cadang jenazah Daim dikebumi di Makam Pahlawan