‘Saya sangat jarang dengar penyelesaian alternatif dari pembangkang’, Rafizi tempelak

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menempelak pembangkang yang gegak gempita mengenai usaha kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal negara, tetapi tidak mengemukakan penyelesaian alternatif untuk membuktikan cadangan mereka lebih baik.

Beliau mempersoal apa sebenarnya cadangan pembangkang untuk mengurus negara kerana sehingga kini blok itu tidak mengemukakan belanjawan bayangan mahupun idea mengukuhkan fiskal negara.

“Pada pemerhatian saya baik di dalam dewan atau di luar dewan, dalam hiruk pikuk mengenai keperluan fiskal negara dan kebimbangan mengenai penyasaran semula subsidi ini, yang saya sangat jarang dengar ialah penyelesaian alternatif daripada pembangkang.

“Apa sebenarnya pembangkang cadangkan kepada kerajaann suruh buat ni? Kerana kita sedia maklum, hutang kena turun, defisit kena potong, kedudukan kewangan kena kukuh… tapi apa sebenarnya yang dicadangkan atau alternatif lain oleh pihak pembangkang?,” ujarnya dalam satu klip video perbahasan di Dewan Rakyat.

Rafizi berkata, yang beliau dengar adalah pembangkang hanya memberi alasan bahawa pandemik Covid-19 punca peningkatan mendadak defisit dan hutang negara pada 2021 dan 2022.

“Setakat ini saya nampak jawapan yang sering diberikan ialah peningkatan mendadak defisit dan hutang negara pada 2021 dan 2022 yang kami warisi sekarang ini adalah disebabkan oleh Covid-19.

“Tapi kalau PN mengambil alih kerajaan satu hari nanti saya pun nak dengar daripada Ahli Parlimen Putrajaya contohnya apakah langkah-langkah khusus yang akan diambil oleh PN untuk mengukuhkan kedudukan fiskal,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Menteri jawab kenapa penduduk yang setuju Kampung Sg Baru dibangun dapat pampasan lebih tinggi

Â