Beban ekonomi 4 jenis penyakit ini cecah RM64 bilion
Jumlah keseluruhan beban ekonomi bagi empat penyakit tidak berjangkit (NCD) utama di negara ini adalah mencecah RM64.2 bilion.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, empat penyakit itu membabitkan penyakit kardiovaskular, penyakit metabolik terutamanya diabetes, kanser dan penyakit respiratori kronik.
Terdahulu, beliau melancarkan Laporan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit di Malaysia dan Taklimat Penguatkuasaan Akta 852 serta Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025 hingga 2030 kepada Ahli Parlimen.
Beliau berkata, untuk menangani masalah ancaman NCD, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan pelbagai intervensi seperti Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), cukai minuman bergula, inisiatif perangi gula dan strategi pengurangan garam.
“KKM juga sedang merangka lebih banyak program untuk menjadikan rakyat lebih sihat.
“Antaranya, termasuk Inisiatif Kesihatan Paru-paru Kebangsaan 2025-2030 (yang dibentangkan hari ini) untuk memperkukuh pencegahan, saringan, rawatan, dan kawalan penyakit paru-paru; serta #NutriGrade.
“Saya berharap semua Ahli-ahli Yang Berhormat dapat menyokong usaha ini untuk kebaikan kesihatan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM bersedia mengkaji semula undang-undang membabitkan penggunaan rokok elektronik dan vape sekiranya wujud penemuan baharu dalam aspek perubatan mengenai kesan bahan itu.
“Alasan kenapa kita mempunyai undang-undang tersendiri melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah kerana kita mahu kawal selia.
“Kalau sudah dilarang senang, tapi kita meletakkan perundangan itu sangat komprehensif dari permulaan pendaftaran sampai ke hujung,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Inisiatif pengurangan garam, ini jumlah biaya dapat dijimatkan
Â