PM Anwar beri bayangan Malaysia tubuh ekosistem halal di Peru
Datuk Seri Anwar membayangkan Malaysia akan menubuhkan satu ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara menembusi pasaran Amerika Latin.
Perdana Menteri berkata, bayangan itu dibincangkan bersama dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra di Istana Kerajaan ketika kunjungan rasminya ke sana.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin negara membincangkan peluang kolaborasi ekonomi antara kedua-dua negara selain kerjasama Selatan-Selatan.
“Malaysia juga membayangkan untuk menubuhkan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal negara menembusi pasaran Amerika Latin.
“Malaysia sedar kepentingan pelabuhan yang baharu dibangunkan ini dan berharap dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di pelabuhan tersebut.
“Juga dibincangkan adalah soal kerjasama dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.
Anwar berkata, beliau dan Presiden Peru berkongsi aspirasi yang sama dalam soal memerangi rasuah dan memperbaiki tatakelola di negara masing-masing.
Beliau sempat mempelawa Presiden Boluarte dan delegasi Peru untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia tahun depan.
Pertemuan rasmi itu menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
“MoU kedua pula terkait kerjasama pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Inovasi Pertanian Negara (INIA) manakala MoU ketiga antara Taylor’s University dan Pusat Latihan Pelancongan Peru (CENFOTUR) mengenai kerjasama dalam gastronomi dan hospitaliti.
“Saya optimis hubungan Malaysia dan Peru akan berkembang pesat dengan pelbagai kerjasama antara kedua-dua negara,” ujarnya lagi.
BACA JUGA ‘Sebut nama Syeikh baru selamat’ – Tular video penceramah disyaki sebar fahaman sesat
Â