Penunggang agama tak reti nak ulas: PM Anwar bidas fitnah beliau iktiraf Israel

Perdana Menteri Datuk Seri AnwarIbrahim membidas fitnah segolongan pihak yang mendakwa bahawa beliau mengiktiraf Israel sebagai tindakan memperbodoh rakyat dan tidak bertanggungjawab.

“Politik apa macam ni? Memperbodoh rakyat, menipu, memfitnah atas nama Islam. Ini yang disebut penunggang-penunggang agama yang tak reti nak ulas,” tegas beliau dalam sidang media di sini sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

“Kalau orang tanya, apakah wujudnya Israel? Ia wujud. (tetapi) Malaysia tidak iktiraf, maknanya tidak hantar pegawai kedutaan, tidak ada hubungan diplomatik. Itu maksudnya,”.

Isu ini berbangkit ekoran wawancara Anwar dengan CNN tular disunting sebegitu rupa sehingga memberi persepsi bahawa Malaysia mengiktiraf Israel.

Dakwaan tersebut turut dibangkitkan Perikatan Nasional di Parlimen.

“Do you accept the existence of the state of Israel? Yes. Do you believe therefore the state can defend itself? Yes. Tapi yang kita tentang ini apa? Keganasan, kezaliman, penjajahan negara Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya.

Anwar turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang didakwanya pernah membenarkan kapal Israel berlabuh di Pelabuhan Klang dan pesawat Israel menggunakan ruang udara Malaysia ketika mereka memerintah.

“Masa kita perintah, ada tak kita izinkan Israel berdagang? Tidak!. Apakah kita izinkan pesawat Israel guna ruang udara kita? Tidak!,” tegasnya.

Dalam AELM di Lima, Anwar menyatakan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengangkat isu penindasan terhadap Palestin, meskipun forum tersebut tertumpu kepada ekonomi dan perdagangan.

“Bagaimana (hendak mewujudkan) ekonomi dan perdagangan bebas kalau ia menafikan satu pihak?” soal Anwar.

Tambahnya, ini menunjukkan komitmen Malaysia terhadap keadilan sejagat.

Â