Ada pihak sebar surat palsu guna nama TPM tawar jawatan kerajaan

Polis kini sedang menyiasat satu surat tular yang didakwa digunakan seorang individu untuk menyamar sebagai pegawai kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Individu itu disyaki menyebarkan dua surat berkepala rasmi dari Jabatan Perdana Menteri di aplikasi WhatsApp, dengan memetik nama Fadillah dan menawarkan pelbagai jawatan serta kelulusan kuarters kerajaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau telah menerima laporan kes itu yang dibuat oleh pegawai keselamatan Fadillah pada kelmarin.

“Kes itu disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan bahawa laporan polis dibuat berhubung penyebaran surat palsu yang menggunakan nama Fadillah selepas ia dikesan dihantar kepada individu di Sarawak.

Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Misiah Taib dilaporkan berkata, laporan itu dibuat pegawai keselamatan Fadillah di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

Laporan itu dibuat selepas seorang kakitangan awam di Kuching memaklumkan kepada Fadillah menerusi WhatsApp bahawa beliau terbaca dua surat berkepala rasmi Jabatan Perdana Menteri di pejabat agensi kerajaan di Kuching, Selasa lalu.

Surat yang tersebar dengan menggunakan kepala rasmi TPM itu bagaimanapun tidak mempunyai tanda tangan Fadillah.

Fadillah dalam satu kenyataan turut menafikan pihaknya mengeluarkan surat pelantikan individu sebagai pegawai di pejabatnya.

BACA JUGA Tak sangka ini jumlah eksport berjaya diraih dalam lawatan sulung PMX ke Peru

Â