AMANAH Hulu Selangor tuntut kerusi DUN Hulu Bernam pada PRU16
AMANAH Hulu Selangor menuntut supaya kerusi DUN Hulu Bernam kekal ditandingi parti itu walaupun penyelaras DUN diberikan kepada UMNO.
Naib Ketua AMANAH Kawasan Hulu Selangor, Muhammad Syafiq Musa mendakwa, keputusan melantik penyelaras DUN dalam kalangan UMNO dibuat oleh Menteri Besar Selangor yang didakwa dilakukan tanpa perbincangan bersama parti-parti anggota Pakatan Harapan.
Justeru beliau berkata, Pengerusi Pakatan Harapan Selangor itu diharap tidak mengulangi sikap sama ketika menyingkirkan AMANAH sebagai Penyelaras DUN di Hulu Bernam untuk pembahagian kerusi DUN tersebut.
“AMANAH Hulu Selangor juga mengulangi hak kerusi bertanding PRN nanti adalah berdasarkan status quo kerusi parti bertanding pada PRN yang lepas.
“Ini bermakna AMANAH mahu kekal bertanding di DUN Hulu Bernam pada PRN akan datang,” katanya
Muhammad Syafiq berkata, AMANAH Hulu Selangor belum menerima sebarang penjelasan tentang isu tersebut meskipun Setiausaha Politik kepada Menteri Besar berjanji untuk memberikan jawapan kepada beberapa surat yang dihantar ke Pejabat Menteri Besar sebelum ini.
AMANAH Hulu Selangor juga ingin menyampaikan penghargaan kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor merangkap Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof yang menyokong hasrat kami untuk DUN Hulu Bernam kekal ditandingi AMANAH dalam ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan AMANAH Hulu Selangor.
“Sejajar dengan semangat setia kawan dalam Pakatan Harapan, AMANAH Hulu Selangor berharap Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan lebih rasional dalam keputusan-keputusan yang dibuat melibatkan parti anggota PH Selangor selepas ini,” ujarnya.
BACA JUGA Cadangan mansuh subsidi minyak masak paket dah banyak kali dibincangkan tapi…
Â