Nasib Bung Mokhtar, Zizie Izette atas 3 pertuduhan rasuah diketahui esok

Keputusan sama ada Datuk Seri Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette kekal dibebaskan atau diperintah membela diri daripada pertuduhan rasuah RM2.8 juta akan diketahui esok.

Kedua-dua mereka berdepan tiga pertuduhan rasuah berkaitan pelaburan Felcra Bhd.

Nasib mereka akan ditentukan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.

Sebelum ini pihak pendakwaan membuat rayuan berhubung pembebasan Bung Moktar, 65, dan Zizie Izette, 46, oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, tahun lalu.

Jika panel hakim membenarkan rayuan pihak pendakwaan, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan isterinya perlu membela diri atas tuduhan terbabit.

Kes ini juga akan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk prosiding bicara bela diri.

Bagaimanapun, jika dapatan mahkamah adalah sebaliknya, pasangan suami isteri itu kekal dibebaskan daripada tiga tuduhan tersebut.

Kronologi kes

Pertuduhan pertama dan kedua: Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette.

Selain itu Bung Mokhtar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

Dalam pada itu Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa.

BACA JUGA Lawatan luar negara PMX membazir? Ini nilai eksport berjaya diraih ketika PM ke Peru

Â