PM Anwar tak lupa singgung soal genosid di Gaza ketika pemukiman APEC
Hari terakhir sesi Pemukiman Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) hari ini menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menekankan tentang genosid yang berlaku di Gaza.
Perdana Menteri berkata, adalah sangat menyenangkan untuk melihat APEC yang kebiasaannya memberi fokus kepada ekonomi dan perdagangan, turut membincangkan kekejaman terhadap rakyat di bumi itu yang bertentangan dengan semangat sebenar kemanusiaan.
“Saya juga tekankan keperluan untuk APEC bangkit pada saat ini, bukan sebagai pengikut arus global tetapi sebagai peneraju yang menetapkan piawaian untuk Asia-Pasifik yang inklusif, inovatif, dan berdaya tahan,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook.
Pada masa sama, kerangka Ekonomi MADANI telah disebut oleh Perdana Menteri dalam pemukiman itu sebagai bukti jelas yang menggabungkan kekuatan ekonomi dengan keadilan sosial, penjagaan alam sekitar, dan keterangkuman.
APEC adalah forum ekonomi serantau yang dibentuk pada 1989 bertujuan menggalakkan perdagangan bebas dan memanfaatkan peningkatan kesalinghubungan rantau Asia Pasifik.
APEC terdiri daripada 21 ekonomi anggota termasuk Malaysia, dengan hampir 40 peratus penduduk dunia, menyumbang separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada pertumbuhan ekonomi global.
Anwar berkata, APEC harus memperkukuh peranannya sebagai inkubator idea dan menyokong dasar yang mengangkat pekerja, memperkasa PKS, serta meletakkan kelestarian sebagai teras kemajuan untuk mencipta rantau yang lebih adil dan penuh belas ihsan.
APEC juga katanya, perlu memanfaatkan semangat inovasi memacu usaha kolektif bagi tenaga bersih, kemajuan teknologi, dan amalan lestari yang saling melengkapi.
Sementara itu berhubung isu keselamatan makanan, Anwar menggesa APEC mengambil inisiatif MYSaveFood Malaysia, yang berjaya mengurangkan separuh pembaziran makanan selain usaha mempromosikan amalan pertanian mampan.
“Mengakhiri sesi intervensi, saya nyatakan bahawa pemimpin ekonomi APEC harus tinggalkan kesan menerusi usaha mereka terhadap rakyat keseluruhannya.
“Kesemua pemimpin Ekonomi APEC juga bersetuju mengesahkan Deklarasi Machu Pichu yang menekankan inovasi, digitalisasi, tenaga bersih dan keselamatan makanan bagi menyokong agenda inklusif yang memberi manfaat kepada rakyat untuk memperkukuh daya saing perniagaan dan meningkatkan kemakmuran serantau,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Nasib Bung Mokhtar, Zizie Izette atas 3 pertuduhan rasuah diketahui esok
Â