Kod QR untuk semua kenderaan keluar masuk Singapura… bila?

Penggunaan Kod QR bagi urusan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor untuk keluar masuk Singapura akan diperluaskan kepada semua jenis pengangkutan mulai tahun depan.

Kaedah itu pada masa ini hanya dilaksanakan terhadap penumpang bas dan penunggang motosikal dan peluasan kepada semua jenis pengangkutan lain akan dibuat secara berfasa.

Ia hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor, di sini hari ini, yang memutuskan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memuktamadkan proses perolehan berkaitan pada tahun ini juga.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata bagi memuktamadkan perolehan itu, KDN akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) selewat-lewatnya bulan depan.

“Sasaran untuk memperluaskan penggunaan Kod QR bagi semua jenis pengangkutan pada tahun depan adalah susulan jangkaan peningkatan pengguna di Tambak Johor daripada 116 juta kepada 150 juta setahun.

“Tahun depan juga, Malaysia akan jadi Pengerusi ASEAN. Pada 2026 pula Tahun Melawat Malaysia. Laluan Johor-Singapura dijangka menerima 150 juta orang berbanding 116 juta pada 2023.

“Singapura penyumbang utama dalam sektor pelancongan di ASEAN, Thailand pula di tempat kedua,” katanya kepada media.

Â