Terkejut lihat perangai ‘rider’ ini, pelajar penghafaz al-Quran pun serba salah
Seorang ‘rider’ mengundang kritikan orang ramai apabila dilihat mendesak sekumpulan pelajar sebuah maahad tahfiz untuk mengambil minuman percuma yang dibawanya.
Menerusi rakaman video yang tular, penghantar makanan berkenaan bukan sahaja mempelawa tetapi seolah-olah memaksa beberapa pelajar perempuan berniqab terbabit menerima kesemua minuman itu.
“Boleh ke nak bagi? Ambil sajalah orang dah bagi. Air kopi. Minum air kopi?” tanya lelaki itu sejurus mendekati pelajar berbaju kurung biru itu.
“Ikutkan peraturan madrasah tak boleh (minum sembarangan),” jawab salah seorang pelajar berkenaan.
Apabila ‘rider’ itu bertanyakan mengapa tidak boleh minum, pelajar sama memberitahu
“lambatkan hafalan”.
Walau bagaimanapun, penghantar minuman tersebut seperti tidak menerima alasan terbabit malah menganggap tiada masalah pun untuk mereka minum minuman yang mahu diberinya itu.
“Seriuslah boleh macam tu? Jadi, tak boleh minum air orang bagi? Sebab ada orang belanja sebenarnya.
“Nanti awak terangkan kat ustazah ada orang bagi minuman percuma. Dia saja nak bersedekah.
“Tak ada masalah rasanya dia nak bersedekah. Semoga boleh lancar hafalannya. Tak ada masalah pun. Alright. Boleh ye (ambil minuman yang ditawarkan)?
“Okey. Jomlah kita ambil,” paksanya sambil membuka kotak simpanan itu yang memuatkan lapan bekas minuman percuma pelbagai perisa termasuk strawberi, kopi, teh hijau dan coklat.
Rata-rata berpendapat penghantar minuman terbabit wajar menghormati polisi madrasah dan pendirian pelajar yang sedang berusaha menghafal al-Quran itu.
Malah, ramai menegaskan mana-mana individu pun tidak patut menerima makanan atau minuman percuma yang secara tiba-tiba ditawarkan daripada orang yang tidak dikenali.
Sikap serius mengambil berat terhadap apa sahaja yang masuk ke dalam perut perlu bagi mengelakkan risiko keracunan makanan.
“Orang tu dah cakap ustazah dia tak bagi makan atau minum sebarangan sebab nak jaga hafalan, dibaginya juga. Inilah padah bila masing-masing nak jadi content creator.
“Kenapa penghantar minuman itu mendekati pelajar secara langsung untu bagi sedekah air daripada orang yang tidak dikenali yang tak dimaklumkannya siapa. Sepatutnya beri kepada guru atau ke pejabat. Dia juga beri tekanan kepada remaja itu untuk menerima sedekah yang entah dari siapa.
“Saya pun tidak akan terima minuman daripada orang yang tidak dikenali,” demikian antara kata orang ramai.
BACA JUGA ‘Bukan tak boleh duduk sekali’, ramai sejuk hati lihat gambar ini
Â