Tiga tuduhan rasuah: Bung Moktar, isteri diperintah bela diri
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintah untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah mencecah RM2.8 juta.
Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan pasangan suami isteri berkenaan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 September 2023.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin.
Pihak pendakwaan pada 18 September 2023 memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid pada 7 September 2023 yang membebaskan pasangan berkenaan pertuduhan berkenaan.
Hakim Ahmad Zaidi berkata, mahkamah hendaklah membebaskan tertuduh jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
“Jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh atas kesalahan yang didakwa, mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri. Keputusan untuk membebaskan atau memanggil tertuduh untuk membela diri dibuat setelah hakim bicara membuat penilaian maksimum.
“Prosedur dan kriteria ini ditetapkan di bawah Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah dan peruntukan di bawah seksyen ini adalah mandatori. Sebaik sahaja mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, mahkamah hendaklah memanggil tertuduh untuk membela diri kerana perkataan ‘hendaklah’ dalam peruntukan ini tidak memberi pilihan lain kepada mahkamah,” kata beliau lagi.
Â