Perdagangan Malaysia kekal kukuh, catat nilai dagangan 10 bulan pertama tertinggi dalam sejarah
Perdagangan Malaysia kekal kukuh dan mencatatkan jumlah tertinggi bagi tempoh 10 bulan pertama setakat ini, meningkat 9.3 peratus kepada RM2.383 trilion berbanding tempoh yang sama 2023.
Menerusi kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, eksport mengembang 4.8 peratus kepada RM1.243 trilion dan import naik 14.6 peratus kepada RM1.14 trilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM102.77 bilion.
Ia berkata, bagi bulan Oktober 2024, perdagangan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-10 bulan berturut-turut, meningkat 2.1 peratus kepada RM244.26 bilion.
Jelas MITI, eksport naik 1.6 peratus kepada RM128.12 bilion, manakala import mengembang dengan kadar yang lebih sederhana sebanyak 2.6 peratus kepada RM116.14 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM11.98 bilion.
“Ini merupakan lebihan dagangan yang ke-54 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020,” katanya hari ini.
Menurut MITI, pertumbuhan eksport pada Oktober 2024 telah didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan, yang mewakili 85.4 peratus daripada jumlah eksport.
MITI berkata, peningkatan telah dicatatkan sebanyak 1.9 peratus kepada RM109.46 bilion berikutan kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, barangan makanan diproses serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
“Dari segi pasaran, Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport ke Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan,” katanya.
Ketimbang September 2024, perdagangan, eksport dan import pada Oktober 2024 masing-masing meningkat sebanyak 4.2 peratus, 3.7 peratus dan 4.8 peratus.
Berdasarkan Tinjauan Ekonomi 2025, perdagangan Malaysia diunjur berkembang sebanyak 9.4 peratus pada tahun 2024, dengan eksport dan import masing-masing naik sebanyak 5.6 peratus dan 13.8 peratus.
Sementara itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia terus mampan pada suku ketiga tahun 2024, meningkat sebanyak 5.3 peratus, merupakan pertumbuhan kukuh sukuan tahun yang ketiga berturut-turut.
Ini meletakkan negara di landasan yang betul ke arah mencapai unjuran pertumbuhan KDNK oleh Kementerian Kewangan (MOF) di antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus pada tahun 2024.
MITI walau bagaimanapun berkata, sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, Malaysia turut terdedah kepada risiko global yang boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonominya.
Ia termasuklah ketegangan geopolitik yang meruncing, gangguan rantaian bekalan, ketidaktentuan pasaran kewangan dan prospek pertumbuhan yang tidak sekata antara rakan dagang.
“Berikutan ini, MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan sentiasa bersedia untuk memastikan risiko terhadap pertumbuhan perdagangan dipantau secara lebih rapat dan seterusnya dapat dikurangkan, khasnya melalui aktiviti promosi pemasaran yang dipertingkatkan serta pembukaan pasaran baharu untuk eksport Malaysia,” tambah kementerian itu lagi.
BACA JUGA ‘Bukan tak boleh duduk sekali’, ramai sejuk hati lihat gambar ini
Â