PM Anwar, Macron teroka kerjasama AI di Sidang G20
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron meneroka kerjasama dalam pelbagai bidang strategik, termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, pertahanan, dan kecerdasan buatan (AI) dalam pertemuan dua hala pada Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro.
Meeka melihat potensi besar dalam kerjasama AI yang semakin berkembang pesat, menandakan komitmen mereka untuk memperkasakan hubungan dua hala menerusi teknologi canggih.
Turut hadir dalam pertemuan penting itu ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
“Dalam pertemuan itu, kami menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk membincangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Macron atas sokongan Perancis terhadap Kerjasama Pembangunan ASEAN-Perancis.
Perbincangan turut menyentuh isu global yang kritikal, termasuk isu Palestin.
Kedua-dua pemimpin sepakat bahawa gencatan senjata perlu disegerakan dan kerjasama semua pihak amat penting untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.
Pertemuan berkenaan mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Perancis, serta komitmen kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam menangani cabaran serantau dan global.
Â