Fadhlina kongsi momen sebak dipeluk seorang ibu sedang menangis
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebak tatkala menerima pelukan dari seorang wanita, yang dianggapnya pelukan paling emosional pernah diterimanya.
Dalam coretannya di Facebook, beliau memuat naik sekeping foto dirinya dipeluk seorang wanita di atas pentas.
Kata Fadhlina, wanita itu sudah menangis sejak dia di bawah pentas lagi kerana bersyukur anak-anak mereka akhirnya memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan masing-masing.
“Pelukan di atas pentas ini adalah antara pelukan paling emosional yang pernah saya terima.
“Ibu ini menangis sejak di bawah pentas. Sebenarnya ada dua orang ibu yang menangis dalam acara ini. Kedua-duanya menangis atas sebab yang sama. Kelmarin anak-anak mereka telah menerima Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan masing-masing.
“Hiba dan sebak saya bukan kepalang. Namun saya bersyukur kerana beban mereka telah diselesaikan oleh KDN di bawah pimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail,” luahnya
Fadhlina berkata, beliau dan Saifuddin sama-sama bersetuju bahawa antara isu penting yang boleh mereka berdua menyinsing lengan untuk cuba diselesaikan adalah isu anak-anak Malaysia yang tidak mempunyai dokumen.
“Maka terhasillah program Mekar Didik yang menumpukan usaha ke arah ini.
Bukan sahaja isu dokumentasi dapat diselesaikan malah isu akses pendidikan juga menjadi komitmen KPM untuk memastikan anak-anak warganegara Malaysia ini terus mendapat pendidikan,” ujarnya lagi.
BACA JUGA ‘Angkat seseorang ke tahap dewa sampai tak boleh disanggah’ – Pedas teguran Mohd Nakhaie