PM sifatkan lawatan 11 hari serlahkan ‘sinaran’ Malaysia

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan rasmi beliau selama 11 hari ke Mesir, Arab Saudi, Peru, dan Brazil sebagai langkah bermakna dalam menyerlahkan semula ‘sinaran’ Malaysia di persada dunia.

Perdana Menteri berkata, lawatan sejak 9 November itu telah membuka peluang baharu untuk kemakmuran rakyat dan negara di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.

“Memenuhi undangan lawatan rasmi dan pertemuan daripada rakan-rakan sejawatan dari 19 negara, ia sekali gus mengeratkan hubungan antarabangsa,” ujarnya.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menekankan bahawa tumpuan utama lawatan tersebut adalah memperkukuh kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, dan inisiatif bersama yang bermanfaat dan dirasai oleh rakyat khususnya serta komuniti ASEAN.

“Apa yang paling berharga bukanlah semata-mata pencapaian atau perjanjian yang termeterai, tetapi semangat kebersamaan dan sikap masyarakat antarabangsa yang mengambil serius pandangan Malaysia—sebuah negara yang sentiasa tegas mendukung nilai keinsanan, keadilan, menjulang kecemerlangan serta inklusif.

“Esok, saya akan menerima kunjungan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam di Putrajaya, dan Ahad ini, saya akan berangkat ke Korea Selatan untuk terus meneroka peluang ekonomi baharu,” kata beliau.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menegaskan komitmen kerajaan menjadikan usaha ini sebagai asas trajektori masa depan yang lebih cerah untuk membangunkan negara.

“Saya dan pasukan Kerajaan MADANI akan terus mendengar, berkhidmat, dan mengangkat darjat serta martabat rakyat serta negara di persada dunia,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Bapa lima anak dihukum sebat di masjid 6 Disember depan, rupanya dah kali ketiga…