Restoran roti pau babi rupanya yang Mahathir ‘lawat’, tak pasal-pasal kena kecam
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuat naik tiga keping gambar dari sebuah restoran tidak halal yang menggunakan sepenuhnya bahasa Cina pada papan tanda mereka.
Foto itu dimuat naik selepas beliau beberapa hari lalu mendakwa seperti sedang berada di China ketika berjalan di sebuah pusat beli belah.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa kesemua papan tanda yang dilihat di pusat beli belah itu berbahasa Inggeris dan Cina.
Pusat beli belah yang disebut adalah Pavilion Bukit Jalil.
Beliau kemudian pada semalam memuat naik gambar sebuah restoran menjual pau babi yang menggunakan papan tanda dalam bahasa Cina sebagai mempertahankan kenyataannya sebelum itu bahawa beliau terasa seperti berada di China.
Hantaran terbarunya itu bagaimanapun mengundang kecaman ramai kerana restoran tersebut terang-terang menjual roti pau babi yang tidak halal.
Ia juga memfokuskan kepada segmen pelanggan bukan Melayu.
Ramai percaya tindakan restoran berkenaan tidak menggunakan bahasa Melayu lebih selamat kerana bimbang ia akan dimainkan pula pihak ketiga yang mudah “triggered” sekiranya “pau babi” ditulis dalam bahasa.
Seorang pengguna bernama Muhammad Najib berkata, perniagaan Cina sudah lama menggunakan tulisan ibunda mereka untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan Melayu.
“Kedai tu jual pau babi. Perniagaan Cina dah lama amalkan guna tulisan Cina untuk discourage Melayu, bangsa paling mudah tertipu dan terpedaya di dunia, dari masuk kedai Cina yang ada babi.
“Kang tulis dalam BM, ada Melayu “triggered” pula tuduh Cina nak jerat Melayu makan babi,” katanya membalas hantaran Mahathir di X.
Beberapa pengguna lain pula membayangkan apa akan jadi sekiranya restoran berkenaan menggunakan bahasa Melayu untuk mempromosi menu mereka.
“Bayangkan kedai tulis “Pau Babi, Sedap, Rugi Tak Mencuba” macam tagline biasa kedai makan tarik pelanggan. Jadi isu lah pula,” kata pengguna lain.
Walaupun ramai memahami penekanan Mahathir dalam konteks penggunaan bahasa Melayu yang perlu diutamakan terlebih dahulu, namun mereka berpendapat untuk restoran Cina yang sememangnya menyajikan makanan tidak halal, lebih baik menggunakan bahasa mereka sendiri.
Mereka membangkitkan persoalan lebih utama, lantai LG lebih separuh daripadanya memaparkan budaya Jepun dan restoran-restoran Jepun tetapi mengapa Mahathir tidak khuatir melihatnya?
“Yang peliknya Pavilion Bukit Jalil tu separuh daripada lantai tingkat bawah didedikasikan untuk Jepun. Kana dan kanji bersepah dekat LG tu tapi tu Tun M tak risau sebab bukan cina,” kata pengguna X.
Komen itu kemudian dibalas, “ada polisi era dia jadi PM dulu iaitu pandang ke Timur. Contohnya negara atau orang-orang Timur seperti Jepun. Dia memang minat negara Jepun. China atau Chinese agaknya dia tak anggap sebagai orang Timur”.
BACA JUGA Fadhlina kongsi momen sebak dipeluk seorang ibu sedang menangis