Timbalan Menteri saran prasekolah kendalian Pas didaftar bawah KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap semua sekolah tabika swasta termasukah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) yang dikendalikan Pas didaftarkan di bawah kementerian itu.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, ia supaya murid dapat menggunakan satu silibus atau kurikulum aliran perdana yang telah pun disediakan KPM.

“Adalah menjadi hasrat bagi KPM untuk memastikan anak anak yang mengikuti pembelajaran prasekolah sama ada di bawah KPM atau agensi swasta, kami mahu anak anak kita lebih (bersedia) memasuki tahun satu kelak.

“Bagi KPM kita berharap kesemua tadika atau prasekolah dapat mengambil inisiatif untuk mendaftar dengan kita supaya kita dapat menggunakan satu silibus atau kurikulum aliran perdana yang telah pun disediakan KPM yang boleh membantu anak-anak kita apabila memasuki sekolah rendah.

“Kita berharap melalui sesi libat urus itu nanti, Pasti yang tidak berdaftar dengan KPM, tidak ikuti kurikulum yang sedia ada dapat didaftarkan supaya kementerian ini dapat memastikan kurikulum yang digunakan itu adalah selaras dengan kurikulum yang sedia ada dengan KPM,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Wong berkata, pihaknya berharap semua prasekolah swasta dapat dihimpunkan di bawah payung besar KPM.