Amaran banjir di Hulu Terengganu hingga 12 tengah malam esok

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia mengeluarkan amaran banjir di Hulu Terengganu yang dijangka berlaku antara 1 pagi tadi sehingga 12 tengah malam esok.

Jangkaan banjir oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS itu susulan amaran hujan berterusan peringkat buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia petang semalam serta ramalan aras air sungai menaik dan akan melebihi aras bahaya.

“Kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar sub-lembangan Sungai Tersat di KM11 Jalan Sekayu, Kampung Menjing, KM8 Jalan Sekayu dan Kampung Durian Bador,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan jam 11 malam tadi.

Walau bagaimanapun, JPS memaklumkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang dijangkakan bergantung kepada keadaan hujan yang signifikan di kawasan terlibat.

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” kata JPS lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, terdapat 13 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga jam 4.13 pagi tadi, iaitu di Kemaman dan Kuala Terengganu masing-masing enam serta satu PPS di Marang.

Kesemua PPS terbabit menampung 1,922 mangsa termasuk 263 Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 549 keluarga.

BACA JUGA PM sifatkan lawatan 11 hari serlahkan ‘sinaran’ Malaysia

Â