Amaran hujan berterusan tahap buruk, waspada di lima negeri
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap buruk bagi seluruh Terengganu manakala Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai sehingga 23 November ini.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap waspada juga sehingga 23 November ini di Gua Musang, Kelantan; Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor melibatkan Mersing dan Kota Tinggi.
Sabah juga diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada dalam tempoh 23 hingga 25 November.
Kawasan terlibat ialah Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Dalam masa sama, Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan sebentar tadi memaklumkan luruan monsun dijangka berlanjutan sehingga hujung November ini.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, kekuatan luruan monsun diramal meningkat pada 27 November hingga 1 Disember 2024. Keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan sangat lebat dan berterusan dalam tempoh berkenaan.
“MET Malaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Buruk & Waspada) di timur Semenanjung berkuat kuasa sehingga 23 November 2024 manakala di timur Sabah berkuat kuasa pada 23 hingga 25 November 2024,” katanya.
Turut dimaklumkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa sehingga 26 November ini.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” kata Mohd Hisham lagi.
BACA JUGA PM jawab isu tular temubual dengan CNN