Anwar Perdana Menteri yang berani lawan rasuah, bela nasib orang miskin
Oleh NORMAN RADZUAN
Jika Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada tahun 1999, kerjanya jauh lebih mudah dari sekarang.
Namun, Anwar menjadi PM 2022 yang penuh dengan cabaran yang tidak mampu Mahathir 2.0, Mahiaddin Yassin dan Ismail Sabri hadapi. Sebab itu, ketiga-tiga mereka menjadi PM yang begitu singkat.
Andaikata Anwar menjadi PM 1999 ketika bersama UMNO dengan kekuatan BN 2/3 majoriti, mudah beliau melakukan reformasi.
Tidak seperti sekarang kerajaan campuran yang memerlukan strategi seperti menarik benang dalam tepung untuk melakukan reformasi atau dasar-dasar baharu kerajaan.
Jika Anwar menjadi PM 1999, ketika kekuatan orang Melayu sangat kuat dengan BN, mudah Anwar melakukan perubahan melawan budaya rasuah.
Tapi kerana rasuah sudah menjadi budaya orang Melayu dalam tempoh yang agak lama, sukar untuk Anwar lakukan apatah berlakunya deep state dalam jabatan-jabatan kerajaan.
Andaikata Anwar menjadi PM 1999, tidaklah beliau pening melayani pelbagai kerenah Sarawak.
Terbaharu hingga mereka mahu Kitab Bible diajar di sekolah-sekolah, mahukan khutbah Jumaat dalam bahasa Inggeris dan mahukan 35 peritus Kawasan Parlimen untuk Sarawak dan Sabah walaupun jumlah penduduk tidak sepadat di Semenanjung.
Andaikata Anwar menjadi PM 1999, tidaklah beliau pening membaca fitnah di media sosial kerana ketika itu belum wujud media-media seperti FB, Tik Tok dan Twitter.
Zaman Mahathir beliau boleh menjadi PM dalam tempoh yang lama kerana masih belum ada media sosial. Media arus perdana yang ada dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.
Andaikata Anwar menjadi PM 1999, tidaklah beliau pening kepala bagaimana menghadapi hutang kerajaan berjumlah RM1.5 trilion.
Berbanding 1999 hutang negara hanya sekitar RM 100 bilion. Jika waktu itu Anwar menjadi Perdana Menteri tentu pelbagai idea beliau akan lakukan untuk membantu golongan miskin di negara ini dan banyak manfaat diberikan kepada rakyat Malaysia.
Andaikata Anwar menjadi PM 1999, tidaklah beliau pening melayan karenah ahli-ahli Parlimen yang mengambil kesempatan kepada kerajaan campuran.
Dalam BN ada Akmal Saleh dan Wee Ka Siong yang menyerang kerajaannya sendiri. Dalam PH, ada Lim Guan Eng dan Hassan Karim yang menjadi duri dalam daging. Itu belum termasuk dari Sabah.
Jika waktu BN 1999 dahulu tiada MP yang partinya bersama kerajaan berani mengkritik kerajaan. Mereka akan gunakan saluran dalaman.
Bukan mudah menguruskan kerajaan campuran seperti sekarang. Muhyiddin dan Ismail Sabri gagal dalam tempoh yang begitu singkat sahaja angkat tangan.
Memeningkan
Andaikata Anwar menjadi PM 1999, tidak perlu beliau melayani kerenah Lim Guan Eng yang memeningkan. Sesungguhnya walaupun DAP sebuah parti yang sudah berusia 60 tahun tetapi mereka tidak bijak dalam berpolitik.
Dulu bapanya Lim Kit Siang, gunakan slogan Malaysian Malaysia yang akhirnya menjadi bola tanggung untuk lawan menyerang parti DAP sehingga sekarang.
Sekarang pula Lim Kit Siang sibuk campur tangan mengapa Menteri KPM sambut delegasi Taliban. LGE tidak perlu campur tangan hal-hal berkaitan dengan Islam.
LGE yang kini tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan boleh gunakan saluran dalaman melalui Setiausaha Agung partinya untuk bertanyakan soalan tersebut.
Sebab itu, walaupun DAP parti lama jika tidak kerana gelombang reformasi, nasib mereka sama seperti Pas.
Pas dan DAP adalah parti pembangkang yang tidak pernah bijak menggunakan strategi. Kedua-dua parti ini agak ekstrem dengan ideologi parti masing-masing.
Lihat PKR atau pun Bersatu parti jauh lebih muda tetapi sudah mempunyai Presiden bergelar Perdana Menteri.
Ia kerana pimpinan parti ini tahu menggunakan strategi yang betul dalam demografi politik kaum di negara ini.
Sebab itu, saya katakan dahulu selagi legasi Lim berada dalam DAP, sukar untuk parti ini pergi jauh.
Percayalah suatu hari nanti jika Steven Sim mengambil alih parti ini, DAP akan diterima 70 peritus oleh orang Melayu.
Andaikata Anwar menjadi PM 1999 dahulu dengan usia masih muda tentulah beliau mempunyai kekuatan dan boleh banyak lakukan untuk negara.
Kini usianya 77 tahun, beliau ke sana sini tanpa berehat dan tanpa bergaji untuk memulihkan ekonomi negara.
Yang menyedihkan hari-hari beliau dimaki oleh pembangkang hanya beliau mahu membela orang miskin dan untuk melawan rasuah.
Sesuatu yang tidak masuk di akal bagaimana orang Melayu khasnya memaki hamun dan sanggup memfitnah seorang lelaki yang berusia 77 tahun yang bekerja keras untuk memastikan Malaysia yang ‘sakit’ ini mampu sembuh daripada penyakit yang semakin parah.
Beliau memikul beban dari pimpinan terdahulu. RM1.5 trilion bukan jumlah yang kecil dan jika tidak dikawal dengan tata kelola yang baik, Malaysia menuju ke arah negara muflis.
Walaupun Anwar Ibrahim bukan parti sehaluan tidak wajar beliau difitnah begitu rupa. Tidak wajar mengaibkan dirinya seolah-olah kita tidak beragama hanya kerana fikrah politik yang berbeza.
Hargai usaha
Hargailah walaupun sedikit tetapi dengan hasil usahanya Anwar berjaya menaikkan gaji kakitangan awam yang rata-rata orang Melayu.
Hargai usahanya mencari pelabur bagi membolehkan beliau memberikan bonus kepada kakitangan awam.
Buat golongan petani, hargailah hasil usahanya hingga harga getah dan sawit jauh meningkat. Hargailah para petani kerana mendapat banyak subsidi dari kerajaan hasil usahanya.
Hargailah peluang pekerjaan semakin meningkat hasil usahanya ke sana ke sini mencari pelaburan untuk anak-anak kita.
Benar hari ini kamu membenci, kamu hina dan memakinya tetapi percayalah 10 hingga 20 tahun akan datang generasi anak-anak kalian akan mengenangkan beliau sebagai Perdana Menteri yang berani melawan rasuah dan membela nasib orang miskin.
Ingat, membela orang miskin bukannya mudah kerana akan muncul musuh dalam kalangan kelas maha kaya.
Namun, Anwar insan yang berani untuk bersama orang miskin dan bukan sebagai PM lazimnya bersama dengan orang kaya.
Dapat kita lihat di media sosial, rakyat di negara Barat dan negara jiran Indonesia memberitahu dunia atau negara mereka memerlukan pemimpin seperti Anwar Ibrahim.
Namun, kita tanpa rasa bersyukur menghina, memaki, memfitnah dan mengaibkannya.
Percayalah suatu hari nanti barulah kita sedar mengapa pemimpin-pemimpin dunia mengagumi Perdana Menteri bernama Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu.
BACA JUGA Ramai kagum Presiden Perancis ciap dalam bahasa Melayu ketika pertemuan dengan PMX
Â