Apa motif serangan berterusan Akmal terhadap Loke?
Rata-rata pimpinan pemuda DAP mempersoal motif di sebalik tindakan Ketua Pemuda Umno Sr Akmal Saleh membuat serangan terhadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang merupakan rakan dalam kerajaan perpaduan.
“Justeru, kepada saudara Akmal, apa niat sebenar saudara mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan? Adakah saudara benar-benar ikhlas ingin membela nama agama, bangsa dan negara? Atau saudara hanya ingin sibuk menagih perhatian dengan menyerang pemimpin-pemimpin utama negara? Tepuk dada tanya selera.
“Jadi saya khuatir, kalau pemimpin muda seperti Akmal hanya sibuk mengejar nama, jadi tugas untuk membina negara ini perlu diserahkan kepada siapa?” soal naib ketua pemuda sosialis DAP kebangsaan (DAPSY), Raja Ahmad Iskandar Fareez.
Terdahulu Loke menyatakan beliau tidak mahu membalas serangan terbaru Akmal memandangkan Akmal bukanlah pimpinan kanan parti.
Setiausaha DAPSY kebangsaan Lim Chun Weng juga menyokong pendirian yang diambil Loke.
“Sekiranya Setiausaha Agung Loke memberi respons kepada setiap kenyataannya Akmal, ia ibarat tiada titik noktah, bertengkar tanpa kesudahan. Tambahan pula, Akmal sebagai seorang junior dalam politik perlu lebih rendah diri.
“Saya bersetuju bahawa sebagai menteri kabinet, Saudara Loke Siew Fook mempunyai tanggungjawab yang lebih penting. Fokus beliau adalah isu-isu berkaitan dengan kebajikan rakyat dan bukannya Akmal.
“Kita boleh lihat di bawah kepimpinan saudara Loke Siew Fook, Kementerian Pengangkutan telah melaksanakan beberapa dasar baharu, seperti pas bulanan tanpa had pengangkutan awam My100 & My 50 dan dasar pendigitalan JPJ.
“Dasar-dasar ini dengan jelasnya telah memudahkan hidup rakyat. Saya ingin menegaskan bahawa melaksanakan dasar sebegini ini lebih membawa manfaat kepada rakyat dan negara berbanding membalas retorik kosong Akmal.”
Peringatan buat Akmal
Lim turut memberikan peringatan kepada Akmal.
“Akmal usah politikkan setiap isu dan membesar-besarkan isu perkauman. Ia akan mencetuskan perpecahan dan akhirnya akan merugikan semua. Saya memahami bahawa ia akan membawa imej “perjuang Bangsa” kepada Akmal, tetapi ia turut juga akan gadaikan keharmonian masyarakat.
“Malaysia baru sahaja keluar dari kemelutan politik di mana kita tukar 3 Perdana Menteri dalam 4 tahun. Rakyat baru sahaja menikmati kestabilan politik dan Akmal perlu membuang pandangan negatif dan henti melihat isu dari sudut perkauman dan politik. Sebaliknya, beliau harus lebih fokus kepada pencapaian pemimpin Kerajaan Perpaduan.
“Sebagai sebahagian daripada anggota Kerajaan Perpaduan dan juga anggota pentadbiran kerajaan Melaka, Akmal perlu memainkan peranan dalam kerajaan untuk menerangkan dasar yang telah dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Cermin diri dulu, Akmal
Ketua biro dasar awam DAPSY Kebangsaan Jason Ng Thien Yeong pula mahu Akmal bercermin diri sebelum menyerang pimpinan parti kawan.
“Sebagai Ketua Pemuda Umno dalam sebuah parti memerintah serta sebagai seorang EXCO di Melaka, Dr Akmal Saleh sepatutnya bertindak lebih matang dan rasional dalam berpolitik dan mengemukakan dasar yang membina dalam bidang tugasnya.
“Sebaliknya, beliau lebih suka bersekongkol dengan ahli pembangkang dan mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar terhadap menteri kabinet Kerajaan Perpaduan serta merendahkan pemimpin rakan parti.
“Saya menasihati YB Dr Akmal Saleh, sebelum mengkritik pemimpin lain sebagai sombong, sila melihat ke dalam cermin kerana YB Anthony Loke sebagai seorang menteri dan pemimpin politik yang berpengalaman sedang memberi teladan di mana yang baik harus memberi tumpuan kepada tugas hakiki seseorang anggota pentadbiran.
“Dr Akmal Saleh merupakan ahli EXCO yang bertanggungjawab ke atas pembangunan luar bandar, pertanian dan keterjaminan makanan di Melaka, namun jarang sekali kita mendengar beliau mengemukakan pandangan yang konstruktif berkenaan dengan tugas beliau.
“Oleh itu, jika beliau tidak berminat untuk menjalankan tugas sebagai EXCO Melaka dan sebaliknya hanya ingin meraih publisiti politik murah dengan mengkritik pemimpin rakan parti, lebih baik beliau menarik diri dari kerajaan dan menjadi seorang ahli dewan ‘backbencher’,” kata Ng yang juga ialah ADUN Astaka menerusi hantaran Facebook.
Sabar… jangan melatah, Akmal
Timbalan setiausaha publisiti DAPSY Kebangsaan Pang Sock Tao merangkap Adun Kuala Kubu Bharu menasihatkan Akmal supaya lebih bersabar dan tidak melatah.
“Kestabilan politik dan sosial negara adalah elemen utama bagi memastikan keberkesanan usaha Kerajaan Madani dalam memulihkan ekonomi serta membawa kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya menyeru agar semua pihak, khususnya pemimpin muda, memberi fokus kepada agenda perpaduan nasional dan menghentikan permainan politik yang boleh merugikan rakyat serta negara.
“Sebagai pemimpin muda seperti saudara Dr Muhammad Akmal, saya ingin menasihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau , Melaka ini, supaya lebih bersabar dan tidak melatah hanya kerana saudara Anthony Loke tidak memberikan perhatian kepadanya.”
BACA JUGA: Buat betul-betul, kalau tak saya akan minta pecah balik nanti