PM jawab isu tular temubual dengan CNN

Perdana Menteri menjelaskan bahawa temubual bersama media antarabangsa CNN, baru-baru ini yang tular diambil luar daripada konteks yang tepat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia kekal iaitu tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel.

Memberitahu Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyuarakan pendirian Malaysia sekeras-kerasnya mengenai kezaliman rejim Israel terhadap Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

“Dari zaman Tunku Abdul Rahman, Malaysia tidak iktiraf Israel sampai sekarang.

“Jadi dibezakan antara pengiktirafan ‘de facto’ yang saya sebut, ya, kalau iktiraf dia ‘de facto’ mana-mana negara yang diiktiraf ‘de facto’ tidak boleh diserang.

“Jadi, sebab itu mana-mana negara kalau ‘de facto’ dia boleh pertahankan negara dia… lepas itu kalau dengar saya dalam konteks, saya serang Israel habis-habisan…

“Tak tahu apa lagi cara saya boleh buat, di Riyadh, Lima dan Rio de Janeiro, suara Malaysia itu paling keras.

“Jadi, sebab itu, saya tidak faham mengapa perkara ini dipolitikkan padahal, kalau tahu… rakan-rakan saya di depan (pembangkang), kerajaan dulu pesawat Israel pun boleh masuk.

Sehubungan itu, Anwar yang telah mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga 19 November lalu, menegaskan tidak mahu berbalah mengenai perkara tersebut.

“Kalau tak setuju satu dua perkara, tak mengapa lah… Saya tak mahu berbalah mengenai perkara itu.

“Tetapi tidak benar, untuk dikaitkan dan menghina dalam keadaan kita berperang dalam isu ini.

“Ini bukan isu politik… Ini isu yang lahir daripada keyakinan kita dan perjuangan selama berpuluh-puluh tahun,” kata beliau lagi menjawab soalan tambahan Dr. Mohammed Taufi Johari (PN-Sungai Petani).

Anwar ditanya mengenai salah tanggapan dalam kalangan masyarakat dan pihak pembangkang berhubung video pendek wawancara bersama hos agensi media antarabangsa CNN, Richard Quest, baru-baru ini.

BACA JUGA Lepas 3 bulan menang, Azmawi Fikri angkat sumpah ADUN Nenggiri

Â