Dua tahun Kerajaan Perpaduan: Melangkah ke hadapan
OLEH: Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
Perjalanan sesebuah gagasan baharu negara adalah panduan besar bagaimana negara dibentuk dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunannya. Pemimpin besar negara perlu melihat kepada realiti sekeliling yang melingkungi suasana negara semasa kepimpinannya.
MERUNGKAIKAN KEBUNTUAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim atau gelaran rakyatnya PMX mengambil alih tampuk kepimpinan negara dalam suasana sukar dan mencabar dari sudut dalaman dan luarannya. Dalamannya, beliau terpaksa menerima realiti wujudnya kerajaan yang dibentuk atas berbagai blok parti politik yang sebelumnya usai PRU ke-15 setiap blok gagal memenuhi majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan.
PH sebagai blok yang memiliki bilangan terbesar, iaitu 82 kerusi masih belum capai had majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, iaitu 112 yang diperlukan. Di belakang PH ialah blok PN, iaitu 74 kerusi sedangkan blok lain seperti Barisan Nasional (BN), GPS dan GRS masih mencari-cari rakan untuk membentuk kerajaan.
Lontaran idea Kerajaan Perpaduan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, AlSultan Abdullah mengandungi hikmah tersirat di sebalik jalan buntu sejak pengumuman keputusan PRU ke 15 pada 20 Nov 2022. Rakyat masih dalam fobia politik selepas peristiwa ‘Langkah Sheraton’ dan pandemik Covid 19 yang menimpa negara. Namun hikmah Allah lebih besar dari segalanya, justeru terbentuklah Kerajaan Perpaduan pada 24 November 2022.
LATAR UNIK
Latar yang membawa kepada terbentuknya kerajaan pada 24 November 2022 adalah faktor penting yang tidak boleh diabaikan dalam membuat penilaian pencapaian Kerajaan Madani hari ini. Ini berpandukan kepada beberapa fakta. Pertama, suasana unik ini telah menghimpunkan 16 parti politik dan empat blok parti besar iaitu PH, BN, GPS dan GRS.
Semuanya telah bertanding dalam PRU 15 sebagai pesaing dan bukan rakan. Politik Malaysia yang bermodelkan politik kesepakatan prapilihanraya terpaksa berhadapan dengan realiti kebuntuan membentuk kerajaan, lantas blok yang bersaing antara satu sama lain terpaksa berkompromi pasca PRU.
Ini membawa kepada persoalan kedua, iaitu bagaimanakah parti yang berlawanan antara satu sama lain dengan manifesto yang berbagai dapat mencapai kata sepakat dalam melaksanakan manifesto masing-masing dalam sebuah kerajaan. Selalunya hanya satu blok utama sahaja yang akan melaksanakan manifestonya setelah membentuk kerajaan. Dengan kata lain, pasca PRU 15 sangat unik bagi lanskap politik Malaysia kerana latar tadi yang perlu dibereskan terlebih dahulu sebelum bercakap soal melaksanakan janji manifesto.
Fakta kedua perlu diambilkira dalam membuat penilaian dua tahun pencapaian Kerajaan Madani. Kegagalan berbuat demikian seolah-olah membutakan mata kepada satu fasa penting menyelerakan dahulu kepelbagaian manifesto dan membereskan kesepaduan empat blok utama yang berlawanan sebelumnya. Jadi apakah formula PMX untuk menyatukan kesemua ideologi blok masing-masing?
LAHIRNYA MADANI
PMX perlu mencari titik pertemuan dalam kerajaan bagi menyatukan blok masing-masing. Hampir dua bulan selepas proses konsolidasi dan persefahaman, PMX memperkenalkan Malaysia Madani pada 19 Januari 2023 berperanan untuk menggagaskan idea besar negara yang beliau namakan sebagai Madani. Ia diharapkan dapat memandu semua pihak kepada menjayakan nilai-nilai yang di dalamnya adalah ikhtiar untuk menjawab realiti semasa yang dihadapi negara, termasuklah menguruskan keunikan terbentuknya sebuah kerajaan perpaduan. Madani boleh dikira sebagai konsolidasi manifesto berbagai tertumpu kepada nilai-nilai besar yang akan menetapkan dasar-dasar baharu yang akan diperkenalkan.
NILAI BESAR M.A.D.A.N.I
Ada enam nilai besar negara dalam mencapai cita-cita pembangunannya, iaitu Kemampanan (M) Kesejahteraan (A) Daya-cipta (D) Hormat (A) Keyakinan 👎 dan Ihsan (I). Aspek Kemampanan menjurus kepada bentuk ekonomi dan alatnya pada masa hadapan bagi menjayakan konsep kelestarian untuk generasi mendatang manakala kemakmuran negara pulangannya adalah untuk rakyat yang memerlukan pembelaan.
Untuk maju ke hadapan daya-cipta dari segala aspek keintelektualan dan kebolehmenjadian diharapkan menghasilkan inovasi dan kreativiti yang menguntungkan negara sedangkan ia hendaklah dipandu atas nilai hormat kepada budaya bangsa, sesama insan dan alam. Melahirkan keyakinan adalah kunci penting untuk mengeratkan hubungan rakyat dan pemerintah yang terhakis sejak Langkah Sheraton dan akhirnya bersifat Ihsan dan Rahmah kepada kebajikan rakyat dan kepada alam sekitar adalah perasaan sedar dalaman yang membentuk kita sebagai masyarakat yang menjulang nilai Karamatul Insan.
Berdasarkan gagasan besar inilah polisi-polisi baharu yang bersifat struktural diperkenalkan antaranya ialah Kebertanggungjawaban Fiskal Negara bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap perbelanjaan perbendaharaan negara, Penstrukturan semula regim subsidi kepada bersasar, gaji progresif, meningkatkan gaji penjawat awam, Skim pencen yang baharu serta pembelaan golongan yang memerlukan dari berbagai program kebajikan rakyat yang ditingkatkan. Dasar mengunjur ke hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI), Dasar Peralihan Tenaga Baharu, Perindustrian Baru semuanya dirangka dalam gagasan besar MADANI.
AKSI MADANI DI PENTAS DUNIA
Ketegasan PMX mewakili amarah manusia terhadap keganasan dan genosid Israel ke atas rakyat Palestine diiktiraf sebagai suara Malaysia dan kemanusiaan. Usaha terkini di peringkat lobi antarabangsa untuk menyingkirkan keanggotaan Israel dalam PBB adalah hasrat yang berisiko tinggi yang telah dilakukan oleh kerajaan Madani atas nama memartabatkan kemuliaan nilai Ihsan.
Aura suara Malaysia di kalangan negara Blok Selatan kembali dirasai dengan nada tegas menyuarakan ketidakseimbangan agihan kekayaan dunia untuk yang tertindas dan miskin. Persediaan Malaysia untuk menyertai gabungan BRICS diterima dengan baik menandakan satu peralihan berani kepada medan baharu sebuah kebangkitan ekonomi masa depan. PMX juga akan memimpin ASEAN untuk tahun 2025 sekaligus membawa berbagai ide untuk memajukan rantau ini dan hubungannya dengan rantau lain.
CABARAN DAN PROSPEK
Dua tahun Kerajaan Perpaduan memerintah, masih banyak yang perlu dilakukan, namun sosok PMX yang memberi inspirasi kepada rakyat tentang semangat kebangkitan melalui Tajdid Pemikiran dan Islah negara adalah jaminan terbesar bagi menjayakan cita-cita ini. Apapun, segala retorik berkenaan akhirnya akan dikira berjaya hanya setelah ia dapat dilaksanakan dan disokong oleh semua blok yang bersama dalam Kerajaan Perpaduan. Semua perkiraan politik dan senarai keutamaaan negara perlu diambil sebagai faktor penting ketimbang desakan dan semangat menjayakan reformasi. PMX mendaki persada kuasa atas kehendak rakyat yang mahukan perubahan. Dua tahun ini PMX masih kekal dengan momentum perubahan dengan mengimbangi kepelbagaian kerenah dalaman mahupun birokrasi termasuklah perubahan budaya dan tingkahlaku yang menjadi penghalang utama.
Prospek tahun mendatang kelihatan cerah setakat kejayaan yang telah dilakukan dalam proses pemulihan ekonomi dan membina imej Malaysia di mata dunia. Kita doakan Kerajaan Perpaduan yang lahir dua tahun yang lalu kekal lebih kuat dan lebih meyakinkan segenap lapisan rakyat. Sepertimana kita harapkan juga agar parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak diganggu gugat oleh suara-suara yang mahu melihat perpecahan di kalangan blok dalam perpaduan berlaku.
Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa ialah timbalan presiden AMANAH dan Pengerusi Pakatan Harapan Perak.
Â