Dari pekerja kilang sampai jurutera, 17 ditahan kes gaduh pasangan kekasih

Lain macam kejadian pergaduhan dipercayai akibat selisih faham satu pasangan kekasih di Queen Water Front Q1, Bayan Lepas, awal pagi semalam.

Seramai 17 individu termasuk dua wanita yang terdiri daripada pekerja kilang, pelajar kolej, pembantu restoran, jurutera, peniaga dan penganggur sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam, mereka ditahan secara berasingan di beberapa lokasi sekitar Bayan Lepas.

Kesemuanya yang dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun itu diberkas selepas kejadian pergaduhan itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi.

Jelasnya, mengikut laporan awal yang diterima pihak polis, seorang pengadu lelaki telah melihat teman wanitanya bersama seorang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang berada di Queen Water Front Q1.

“Pengadu bertindak menghubungi rakan dan ibunya untuk berbincang secara baik bersama teman wanitanya.

“Namun, ketika ibu dan rakannya tiba, datang sekumpulan lelaki (anggaran 10 orang) telah memukul pengadu dengan menggunakan topi keledar, pengadu berjaya melarikan diri kemudian tampil ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya hari ini.

Menurut Sazalee, polis turut merampas lima topi keledar yang digunakan dalam pergaduhan tersebut.

“Tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik dan kesemua mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” tambahnya lagi.

BACA JUGA ‘Kehilangan sebutir permata yang tidak ternilai’