Seniman Negara Ahmad Nawab meninggal dunia

Seniman Negara, Tan Sri Ahmad Nawab, 92, meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves di Selangor, pada jam 3.15 petang tadi.

Cucunya, Khairul Hafis Khan mengesahkan berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Khan Nawab Khan itu.

Beliau memberitahu, keadaan datuknya lemah walaupun tidak mempunyai penyakit kronik selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.

Menurut Khairul Hafis, komposer legenda berkenaan lemah dan tidak sedar selepas ke tandas.

“Emak telefon saya suruh datang. Setibanya saya, datuk sudah tiada. Kalau hendak kata datuk sakit kronik… Tiada penyakit kronik,” katanya dipetik BH Online.

Difahamkan, Allahyarham dikebumikan pagi esok.

Pada 5 Jun tahun lalu, Ahmad Nawab dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Komposer ulung berkenaan melahirkan nama besar dunia seni suara seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram.

Beliau yang menghasilkan lebih 200 album dikurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2000.

Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Ahmad Nawab berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun dan memenangi pelbagai anugerah.

BACA JUGA Samsuri, Pas terus kekal dengan politik bebalkan rakyat

Â