Ini sebabnya Belanjawan 2025 mampu melonjak ekonomi negeri kedua terkecil di Malaysia
Parti Amanah Negara (AMANAH) Pulau Pinang menyokong penuh Belanjawan 2025 Pulau Pinang yang dibentangkan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 22 November lalu.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, belanjawan tersebut adalah pemacu penting bagi gelombang pertumbuhan baharu atau “next wave of growth” di Pulau Pinang sekaligus akan membantu memecut pencapaian agenda Penang2030.
Beliau menyifatkan belanjawan itu turut menjadi bukti kualiti kepimpinan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang dengan anggaran defisit terendah dalam sejarah belanjawan Pulau Pinang iaitu RM33.6 juta.
“Sebagai perbandingan, ada negeri yang defisit tahun 2025 mencecah RM99.9 juta.
“AMANAH Pulau Pinang yakin bahawa pentadbiran negeri ini akan mengurangkan defisitnya menerusi pengurusan perbelanjaan yang lebih efisien dan pengukuhan hasil negeri.
“Dengan hasil negeri dijangka melonjak 70% pada tahun 2025, AMANAH Pulau Pinang yakin Belanjawan ini mampu melonjak ekonomi negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu berkata, walaupun Pulau Pinang merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia, ia adalah ekonomi kelima terbesar tanpa banyak bergantung kepada hasil tanah.
“Kejayaan ini terus dibina menerusi pengukuhan industri semikonduktor nilai tinggi, pemantapan perdagangan antarabangsa, pelaburan asing berkualiti tinggi dan penciptaan peluang pekerjaan mahir sehinggakan Pulau Pinang menjadi lubuk rezeki rakyat negeri-negeri jiran dalam Persekutuan.
“Momentum gelombang pertumbuhan baharu Pulau Pinang sudah pun bermula dengan projek Silicon Island, LRT Mutiara, pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan hab rekabentuk litar bersepadu (IC),” jelasnya.
BACA JUGA Tak jadi projek RM40 bilion, bermacam alasan Sanusi lambak