Saman tuntutan RM1 bilion ke atas Sanusi Md Nor
DSAT Group dan Mahsuri Medical Centre telah menuntut RM1 bilion sebagai ganti rugi, permohonan maaf terbuka dan penarikan balik kenyataan presiden Persatuan Bolasepak Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sanusi juga ialah Menteri Besar Kedah.
“DSAT GROUP dan Mahsuri Medical Centre (MMC) mengemukakan surat tuntutan ini bagi menuntut agar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf secara terbuka, menarik balik kenyataannya dan membayar ganti rugi sebanyak RM1 bilion,” kata pengerusi eksekutif DSAT Group Datuk Seri Azizul Tandek dalam surat tuntutan.
“Jika beliau gagal mematuhi segala tuntutan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, DSAT Group dan MMC akan memulakan prosiding di mahkamah dengan serta-merta tanpa memaklumkan kepada Menteri Besar Kedah,” ujarnya lagi.
Sanusi mempunyai 10 hari untuk berbuat demikian.
Pada awal bulan ini Sanusi memberi gambaran bahawa DSAT dan MMC tidak jujur dalam usaha mereka untuk mengambil alih pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
“Saya cuma sebut siapa nak ambil (alih KDA FC) jangan jadi scammer (menipu). Siapa makan cili dia rasa pedas. Takut dia tokak (gigit) cabai. Saya pun tak tahu dia tokak ke tidak,” Sanusi dipetik berkata.
BACA JUGA: Buat malu orang Kedah, KDA FC dipersoal guna ‘influencer’ pondan buat promosi