Al-kisah hutang
Oleh DR ZULQARNAIN LUQMAN
Hampir semua orang pernah memberikan hutang kepada kawan, ‘kan? Dan ramai kawan yang berhutang lupa untuk membayar hutang itu kembali.
Bukan setakat lupa untuk membayar tetapi juga buat buat lupa apabila kawan itu menagih pembayaran hutang tersebut. Sehingga sampai satu saat, kawan itu pun sendiri malu untuk meminta hak hutang itu dibayar.
Fenomena hutang ini bukanlah satu perkara yang asing dalam lingkaran hidup kita. Jika tidak diberikan hutang maka kawan kita akan menuduh kita kedekut dan tidak berhati perut. Hakikatnya, yang tidak berhati perut adalah orang tidak membayar hutang tersebut.
Dua tiga hari lepas ada seorang haji ini bertemu dengan saya selaku peguam untuk satu urusan berkaitan hal tanahnya. Timbul pula satu cerita hutang yang diberikan kepada seorang ustaz.
Dalam perbualan itu, katanya ustaz itu sering datang mengajar di surau berdekatan dengan rumahnya menyebabkan dia percaya kepada ustaz tersebut.
Pada suatu hari, ustaz itu meminta untuk berhutang dengannya sebanyak RM90,000. Oleh kerana percaya dengan janji ustaz itu, dia telah memberikan pinjaman wang tersebut. Berbulan-bulan ustaz itu menangguhkan untuk pembayaran hutangnya.
Suatu ketika, ketika beliau ingin pergi umrah, beliau telah meminta hutang itu dibayar bagi menampung belanja umrah. Ustaz itu mengatakan dia tidak mempunyai duit.
Tetapi ustaz itu begitu pandai bermain kata-kata. Kata ustaz itu, saya minta tolong haji untuk berhutang sedikit lagi iaitu RM150,000. Nanti saya bayar RM50,000.
Entah apa mandrem yang dipakai. Haji itu telah memberikan tambahan hutang sebanyak RM150,000.
Rupanya ustaz tersebut hanya kitarkan wang dari poket kanan haji itu masuk dalam poket ustaz dan selepas itu ustaz berkenaan keluarkan balik duit tersebut dari poketnya untuk bayar hutang. Maka, masuklah balik duit RM50,000 ke dalam poket kiri haji tersebut.
Jadi, maksudnya haji itu telah terpedaya dengan memberikan hutang baharu tanpa dia sedar bahawa sebenarnya duit yang digunakan untuk membayar hutang itu adalah duitnya sendiri.
Bunyi macam kelakar, ‘kan? Tetapi itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita yang mudah memberikan hutang tetapi payah membayar hutang.
Orang seperti ini perlu dipaksa untuk membayar hutang. Cara memaksa orang untuk membayar hutang secara madani atau secara bertamadun adalah untuk memfailkan kes di mahkamah.
Beberapa bulan lepas, ada seorang haji juga yang menuntut hutang sekitar RM50,000 daripada seorang kawannya yang lain.
Apabila kita selaku peguam melihat kepada dokumen dan bukti nampaknya bukti yang ada tidaklah begitu kuat.
Jadi, selaku peguam, kita kena sedikit kreatif untuk membantu klien untuk mengukuhkan kes itu. Peguam boleh membantu menciptakan bukti tetapi peguam tidak boleh mereka-reka bukti.
Ada perbezaan di antara mencipta bukti (create evidences) dan mereka-reka bukti (fabricate evidence).
Cara bagaimana untuk menciptakan bukti itu sukar untuk dijelaskan dalam ruangan yang sempit ini kerana cara mencipta bukti itu berbeza-beza mengikut fakta kes.
Namun, peguam yang berkemahiran dan berpengalaman dalam soal hutang piutang ini boleh membantu.
Dalam kes haji ini, selepas segala bukti disusun dengan rapi, semasa di peringkat tuntutan sebelum kes telah difailkan defendan telah membayar RM10,000.
Selepas itu, berlaku rundingan demi rundingan sehinggalah pada satu ketika haji ini sudah fed up maka kes telah difailkan.
Selepas kes telah difailkan dan ketika kes sedang berjalan, defendan telah membayar lagi hutang itu dengan tambahan RM10,000. Maknanya jumlah itu hutang sebanyak RM50,000 telah berkurang menjadi RM30,000.
Beberapa hari sebelum perbicaraan telah datang tawaran baru daripada defendan untuk membayar keseluruhan hutang secara ansuran.
Atas nasihat peguam dan atas semangat penyelesaian bersama maka kedua-dua pihak bersetuju dengan kaedah pembayaran ansuran.
Jadi, kes ini dapatlah diselesaikan walaupun pada awalnya kelihatan kes ini tidak ada harapan disebabkan faktor bukti yang tidak mencukupi.
Oleh itu, jika ada sesiapa yang mempunyai masalah hutang tidak dapat dikutip, maka eloklah segera mencari peguam untuk menyelesaikan hal tersebut.
Pastinya ada kos guaman yang perlu dibayar tetapi jumlah keseluruhan kos guaman itu hanya secebis daripada jumlah keseluruhan hutang yang telah menjadi onak dan duri dalam minda kita.
Apapun janganlah membiarkan hutang itu menjadi hutang yang lapuk dan gagal dikutip. Bertindaklah dengan segera. Hubungi peguam untuk membantu.
Bagi sang penghutang, awas jangan biarkan pemiutang mengambil tindakan undang-undang. Kelak, nanti apabila sudah ada penghakiman maka pemiutang itu boleh menyita harta anda.
- Dr Zulqarnain Luqman ialah Pengerusi KANUN AMANAH.