Apa isu penting dibincang di Dewan Rakyat hari ini?

Masalah pengurusan perumahan terutama di kawasan rumah pangsa kos rendah dan isu kuarters kerajaan antara dua isu pertama yang akan dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan usaha kementerian memperkasa Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menjadi badan yang berkesan seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Singapura.

Ia memandangkan terlalu banyak masalah pengurusan perumahan terutamanya rumah pangsa kos rendah tidak berfungsi, penyelenggaraan lemah, komuniti bermasalah dan infrastruktur rosak.

Selepas itu Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) minta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan akan memperkenalkan dasar keluar kepada penghuni kuarters serta mempertimbangkan pembinaan lebih  banyak rumah PPAM untuk menggalakkan penghuni kuarters terutamanya yang menetap melebihi 10 tahun memiliki rumah sendiri bagi memberi peluang kepada penjawat awam baharu ditawarkan kuarters dan meringankan beban sewa.

Menurut Aturan Mesyuarat, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pula minta Menteri Pendidikan menyatakan sama ada pihak kementerian akan memperkenalkan program sokongan psikologi dan kaunseling yang lebih menyeluruh untuk pelajar dan guru, khususnya selepas berlakunya insiden tragik seperti di Sekolah Kuen Cheng dan Sekolah Menengah Chung Hua.

BACA JUGA RM37.4 juta dah disalur tapi pembinaan KB Sentral tak mula lagi?

Â