‘Keluar dari PH lepas menang jadi YB pun jejaskan kepercayaan rakyat’ – Saddiq ditegur
Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kepercayaan rakyat hanya dapat dijaga dengan tindakan yang konsisten dan berprinsip, bukan sekadar retorik.
Timbalan Ketua Pemudanya, Danial Al Rashid berkata, kepimpinan muda tidak seharusnya mengkhianati undi yang telah diberikan rakyat dengan menyertai kumpulan pembangkang.
Katanya, sebarang keputusan yang dilihat mengkhianati kepercayaan seperti meninggalkan gabungan pilihan rakyat, hanya akan menjejaskan imej dan kredibiliti pemimpin muda.
“Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik pandangan Syed Saddiq bahawa kepercayaan rakyat terhadap pemimpin muda bergantung kepada keupayaan mereka menangani isu-isu utama.
“(Tetapi) tindakan Muda menyertai blok pembangkang setelah menang melalui blok Pakatan Harapan adalah satu pengkhianatan yang jelas, yang telah benar-benar merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan muda.
“Sepatutnya, sebagai pemimpin muda, harus berfikiran luas dan berjuang dengan prinsip, bukan sempit mengikut emosi sehingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan untuk mengundi orang muda sebagai calon,” ujarnya.
Pada masa sama beliau turut membidas Syed Saddiq kerana masih memainkan isu PTPTN untuk menyerang kerajaan walhal Ahli Parlimen Muar itu tahu mengenai kemampuan dan keterbatasan dana negara.
“Isu PTPTN, sebagai mantan menteri, Syed Saddiq jelas kedudukan perkara ini, soal kemampuan dan keterbatasan dana negara, namun beliau tetap memainkan isu ini sebagai bahan untuk menempelak kerajaan.
“Ini merupakan sikap yang tidak selari dengan idea membangunkan negara itu sendiri,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa rakyat tidak percaya dan mahu menyokong kepimpinan muda dalam kerajaan selepas ini kerana gagal melaksanakan janji.
Syed Saddiq juga menyentuh soal PTPTN, mendakwa dahulu Adam Adli bersungguh-sungguh mahu pinjaman itu dimansuhkan, tetapi “hari ini tiada komen langsung”.
BACA JUGA Majlis peringati tragedi Memali bertukar jadi maki Perdana Menteri
Â