REE jadi pendapatan baharu tahun depan, Kedah sedia terima teknologi AS
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu bahawa negeri itu akan mula melombong unsur nadir bumi (REE) tahun depan dan bersedia untuk menerima teknologi dari Amerika Syarikat (AS).
Walau bagaimanapun, Sanusi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman hari ini, tidak berkongsikan butiran lanjut kawasan REE yang dijangka untuk dilombong itu.
Ahli Dewan Undangan Dewan (ADUN) Jeneri berkenaan hanya memaklumkan lokasi tapak baharu itu tidak terletak di kawasan hutan simpan.
Menurutnya, perlombongan di tapak itu tidak terikat dengan dasar nombor 12 Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang tidak menyokong sebarang usaha perlombongan dalam hutan simpan.
“Satu daripada tiga pelabur yang diberi lesen menjelajah (EL) REE telah menyatakan komitmen untuk bawa masuk teknologi dari Amerika Syarikat (AS) dan kita bersedia untuknya.
“Pertamanya, kena buat proses pengeringan diikuti mengekstrak beberapa elemen, sebelum pergi ke sektor hiliran untuk membuat bateri.
“Teknologi sudah ada, cuma tunggu kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk proses itu dimulakan.
“Insya-Allah, kita nak ‘jalan’ yang itu dulu. Tahun 2025 nanti insyaAllah REE akan jadi pendapatan baharu Kedah,” jelasnya.
Sanusi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohd Suffian Yusoff (PN-Bandar Baharu) yang bertanyakan mengenai persediaan kerajaan negeri dalam menerima teknologi luar berkaitan REE.
BACA JUGA Majlis peringati tragedi Memali bertukar jadi maki Perdana Menteri