Tun M dua kali luah rasa hairan walau ada ‘hutang’ dengan 106 tahanan ISA
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meluahkan rasa hairan apabila membangkitkan isu pesalah harus dibicarakan walaupun beliau sendiri mempunyai ‘hutang’ dengan 106 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Bekas Perdana Menteri dua kali itu berkata, dia percaya bahawa pesalah harus dibicarakan oleh mahkamah dan dihukum penjara, denda atau rotan.
‘Kehairanan’ Mahathir ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui kerajaan Persekutuan itu muncul biarpun bekas tahanan ISA pernah menyifatkannya telah memanipulasi ISA dengan menahan 106 orang demi kepentingan peribadi dalam dunia politik.
“Apa yang saya perhatikan sekarang ialah hukuman atas dakwaan salah laku yang dijatuhkan oleh penyiasat.
“Penyiasat kini seolah-olah membuat pertimbangan sendiri dan melaksanakan hukuman.
“Orang ramai, organisasi dibekukan dana, perniagaan mereka ditutup, buku mereka dirampas dan mereka atau pemilik organisasi ditahan di lokap,” tulisnya di platform X.
Tanpa memberi huraian terperinci, Mahathir turut membangkitkan isu mengenai premis perniagaan yang disita dan mengakibatkan pekerja kehilangan pekerjaan.
“Adakah pekerja ini bersalah kerana majikan mereka dianggap bersalah? Mesti mereka dihukum juga.
“Mereka perlu hidup. Sekarang mereka tiada pekerjaan. Adakah ini keadilan? Adakah ini kedaulatan undang-undang?
“Saya hairan,” ulang ahli politik berusia 99 tahun itu lagi menutup coretannya.
BACA JUGA REE jadi pendapatan baharu tahun depan, Kedah sedia terima teknologi AS