Padah membuli, 5 kadet UPNM dibuang, dituntut bayar ganti rugi kepada kerajaan

Kerajaan memutuskan lima kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam kes buli, dibuang daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antara yang terlibat adalah pegawai kadet Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan yang dituduh di mahkamah atas kesalahan menekap seterika pada tubuh pelatih junior baru-baru ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang pada semalam memutuskan keliima-lima pegawai kadet terbabit dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia berdasarkan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.

Lima pegawai kadet yang dibuang: Amirul Iskandar, Izzat Izuddin Mohammad Arif, Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan, Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi dan Ammar Hafiy Muhammad Habib

“ALK mengesyorkan tindakan terhadap lima pelaku terbabit kepada MAT, termasuk pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet dan pemberhentian kerja daripada perkhidmatan ATM.

“Kesemua mereka harus membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, tindakan yang dikenakan itu tidak termasuk dengan hukuman lain yang mungkin diambil oleh pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) atau UPNM sendiri.

Mohamed Khaled berkata, kes pertama membabitkan pelaku iaitu Amirul Iskandar Pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021) dikenakan bayaran ganti rugi oleh MAT sebanyak RM44,600.20 kepada kerajaan selepas didapati terbabit sebagai pelaku kes tekapan seterika ke dada pegawai kadet, Muhammad Salman Mohd Saiful Surash.

Kes kedua pula melibatkan tiga pelaku iaitu, Izzat Izuddin (pelaku 1), Muhammad Hidayat Haqimi (pelaku 2) dan Muhammad Irfan (pelaku 3) masing-masing dikenakan ganti rugi berjumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20.

“Ketiga-tiga pelaku melakukan antaranya salah laku secara fizikal, serta mengarahkan mangsa untuk melakukan kerja-kerja peribadi dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa,”katanya.

Kes ketiga membabitkan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Ammar Hafiy Muhammad Habib yang didapati mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa.

Katanya, tindakan salah laku Ammar Hafiy mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada tisu lembut di bahagian bawah belakang tubuh.

“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia berjumlah RM32,115.95,” katanya.

Tegas Mohamed Khaled, Kementerian sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambahbaik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.

BACA JUGA Pakat gelak tengok ‘line up’ geng tebuk atap

Â