Akta Rahsia Rasmi akan dipinda? Kenapa?
Pindaan akan dibuat ke atas peruntukan di dalam Akta Rahsia Rasmi sebagai salah satu langkah untuk mengatasi kebocoran maklumat sulit kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulisnya kepada Riduan Rubin (BEBAS).
Riduan bertanya mengenai tindakan kerajaan untuk mengatasi isu kebocoran maklumat sulit kerajaan dan digunakan untuk tujuan politik dengan niat mewujudkan kegentaran awam dan persepsi negatif terhadap kerajaan dan mengganggu urusan rasmi kerajaan.
“Kita akan melaksanakan pindaan kepada peruntukan-peruntukan di dalam Akta Rahsia Rasmi 1982 bagi mempertingkatkan elemen penguatkuasaan kebocoran maklumat termasuk dalam persekitaran ICT.
“Selain itu, pindaan Akta 88 ini membolehkan pendekatan melalui tindakan korektif pada masa ini disesuaikan dengan pendekatan melalui tindakan punitif yang lebih berkesan bagi mengekang sebarang ancaman kebocoran maklumat rahsia rasmi (terperingkat) Kerajaan pada masa akan datang,” kata Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulisnya.
Selain itu pindaan peruntukan akan dibuat ke atas peruntukan di dalam Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017) dengan mengambil kira ancaman dan risiko keselamatan teknologi.
Seterusnya Inspektorat Pematuhan dan Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan terhadap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk peringkat negeri akan dilaksanakan secara berkala.
Kesedaran keselamatan dan perlindungan kepada semua pegawai juga akan diterapkan.
Jangkaan waktu pindaan – pindaan tersebut akan dilaksanakan tidak dinyatakan.
Â