Lain macam Kelantan mahu jadikan musim banjir sebagai produk pelancongan
Kerajaan Kelantan berhasrat menjadikan musim tengkujuh yang melanda negeri itu sebagai salah satu produk pelancongan bagi menarik kedatangan pengunjung.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamarudin Md Noor berkata, usaha itu akan dibuat memandangkan Kelantan ‘sepi’ tanpa kehadiran pelancong bila tiba musim itu.
“Ini sebagai percubaan sahaja untuk mempromosi musim tengkujuh sebagai musim yang menarik untuk orang datang.
“Tapi perlu ada event. Apa yang kita telah rancang untuk event ini, pertamanya kita (cadang) buat luncur ombak pada pertengahan bulan 12.
“Kami nak memperkenalkan musim tengkujuh sebagai produk pelancongan. Lagi satu ialah makanan musim tengkujuh,” katanya memetik video Astro Awani hari ini.
Menyedari ramai peniaga terjejas kerana banjir, Kamarudin dilaporkan berkata, inisiatif itu diharap dapat membantu peniaga mencari pendapatan sewaktu banjir melanda selain pihak pengusaha hotel boleh membantu menawarkan pakej di waktu berkenaan.
Sebagai waktu percubaan, pihaknya bercadang memperkenalkan luncur ombak di pantai Kemayan pada pertengahan bulan depan.
BACA JUGA Pertama kali jadi YB, Altimet dedah berapa gaji diterimanya sebagai ADUN