Tular video hospital Pasir Mas pula dinaiki air

Tular video di media sosial mendakwa Hospital Pasir Mas, Kelantan mula dinaiki banjir pagi ini.

Rakaman berdurasi 9 saat dikongsikan pengguna X @tokjoemy menunjukkan air sudah di paras buku lali namun operasi hospital masih lagi berjalan.

Pasir Mas antara yang paling teruk terjejas ketika ini dengan data setakat jam 10 pagi tadi merekodkan 21,802 mangsa sudah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Untuk rekod, sebanyak 18 klinik kesihatan di negeri ini ditutup sementara sejak semalam berikutan terputus laluan.

Klinik terbabit adalah 11 di Pasir Mas dan masing-masing dua di Machang serta Tanah Merah dan selebihnya di Kota Bharu, Pasir Puteh dan Tumpat.

Sejak malam tadi juga ramai penduduk di Pasir Mas dan Tumpat dilapor terperangkap di rumah masing-masing sekali gus merayu pihak berkuasa untuk menyelamatkan mereka.

BH melaporkan, ada yang berlindung di klinik dalam keadaan kesejukan dan kelaparan sebelum menunggu bantuan dari pasukan penyelamat untuk dibawa ke PPS.

Rayuan mohon bantuan itu mula tular di Facebook pagi ini dengan harapan semua mereka dapat diselamatkan dalam masa terdekat kerana bimbang keadaan menjadi lebih teruk.

BACA JUGA Negara luar anggap Malaysia ‘rumit’ dijaga, banyak peel tapi…

Â