SPM 2024 tetap diteruskan, ini langkah KPM

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula 2 Disember tetap akan diteruskan walaupun dalam situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.

Menurutnya, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) sudah bersiap siaga sepenuhnya bagi memastikan kelancaran SOP Ops Payung buat semua calon yang menduduki peperiksaan itu bermula esok.

“Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada 2 hingga 5 Disember 2024.

“KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada SOP Ops Payung yang akan terus dikemas kini,” katanya hari ini dalam sidang media khas KPM mengenai status perkembangan calon SPM di negeri terjejas banjir hari ini.

Beliau menegaskan KPM mempunyai Pelan Tindakan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan pekeliling mengenainya telah dikeluarkan kepada warga KPM pada 22 Oktober 2024.

“Program Kesiapsiagaan Menghadapi MTL dilancarkan pada 28 Oktober 2024.

“KPM juga bekerjasama dengan agensi seperti NADMA, ATM dan APM untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar,” jelasnya.

Fadhlina berkata, keputusan untuk meneruskan Ujian Bertutur SPM juga diambil dengan mengambil kira nasihat daripada NADMA.

Ujarnya, jumlah calon terjejas banjir di Kelantan setakat ini adalah 3,111 pelajar, Terengganu 1,734, manakala di Kedah 532 pelajar.

Tambahnya, calon terjejas banjir telah ditempatkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif bagi memastikan calon mendapat keselesaan menduduki peperiksaan mengikut jadual yang ditetapkan.

KPM, katanya lagi, akan menyalurkan segera keperluan tambahan asrama untuk penyediaan makanan kepada calon terbabit.

BACA JUGA Umno dihalang agih sumbangan mangsa banjir, biar nampak Pas saja beri