Akaun bank Bersatu disita, ini penjelasan SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan akaun bank milik parti Bersatu disita mengikut peruntukkan undang-undang dan tidak dibuat sewenang-wenangnya.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dilapor berkata, akaun bank parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu adalah ‘subject matter’.
Menurutnya, akaun bank itu tidak akan dilepaskan sehingga selesai perbicaraan dan tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.
“Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan ‘Penyitaan harta alih dalam institusi kewangan’ dan dalam kes ini, mengikut seksyen tersebut, Pendakwa Raya (DPP) menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, jelasnya, tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam akta yang sama.
“Ia menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat mengikut akta ini hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu, sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan mengikut akta ini.
“Adalah jelas, kes ini mendapat izin mendakwa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001),” ujarnya lagi.
BACA JUGA Bukan YB Pas beri, pempengaruh ini salur bantuan untuk 7,000 mangsa banjir
Â