Akrabnya pertemuan Anwar-Gusmao, ini kesepakatan Malaysia dan Timor-Leste

Lawatan rasmi Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao ke Malaysia hari ini menyaksikan akrabnya pertemuan Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri memaklumkan Perjanjian Konsesi Tanah berhubung pemberian sebidang tanah oleh Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste untuk pembangunan Kompleks Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Dili telah dimeterai.

“Kami turut saksikan pertukaran Pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa yang akan memberikan kemudahan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Dalam sidang media bersama, Perdana Menteri menyatakan komitmen kepada Gusmao untuk memperkukuh hubungan dua hala serta mahu menyaksikan Timor-Leste mencapai kejayaan sama ada dalam politik, ekonomi dan hubungan antara rakyat dengan Malaysia serta antara negara-negara ASEAN.

“Saya turut umumkan kesepakatan kami dalam melonjak kesalinghubungan kedua-dua negara menerusi penerbangan terus Kuala Lumpur-Dili oleh Batik Air bermula awal tahun depan, dan bakal disusuli oleh AirAsia.

“Tumpuan kedua-dua negara saat ini adalah melonjak perdagangan dan pelaburan ke peringkat lebih tinggi, di samping memperkukuh kerjasama dalam TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan pendidikan tinggi,” kata Anwar.

Untuk rekod, Timor-Leste yang merupakan wilayah atau provinsi ke-27 Indonesia pada 1976 mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002.

Kira-kira 97 peratus daripada jumlah keseluruhan 1.36 juta penduduk negara yang dikelilingi oleh terumbu karang dan hidupan laut itu adalah etnik Austronesia (Malayo-Polinesia) dan Roman Katolik.

Mengulas lanjut pertemuan dengan Gusmao, Perdana Menteri turut mengulangi iltizam untuk mempermudah dan menyegerakan proses keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN, terutama sepanjang tempoh kepengerusian Malaysia tahun depan.

“Saya amat tersentuh mendengar kenyataan PM Gusmão terkait konflik di Gaza, Myanmar, Ukraine dan selainnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao di Pejabat Perdana Menteri hari ini. Foto: Sadiq Asyraf

“Kebimbangan PM Gusmão yang mendambakan keamanan ternyata lahir dari hati nurani dan pergelutan panjangnya dalam memerdekakan Timor-Leste,” kata Anwar.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau dan Gusmao serta delegasi republik itu menjamu juadah tengah hari di Seri Perdana selepas sidang media bersama.

“Alhamdulillah, gembira melihat PM Gusmão terhibur dengan persembahan kebudayaan yang dipamerkan.

“Pertemuan saya dan PM Gusmão hari ini telah berjaya memperkukuh hubungan kedua-dua negara dan mempererat persahabatan peribadi kami. Mendoakan masa depan yang cemerlang untuk Malaysia dan Timor-Leste, Insya-Allah,” tambah Perdana Menteri Anwar lagi.

BACA JUGA Akaun bank Bersatu disita, ini penjelasan SPRM