Terpaksa masak atas bot, orang Kelantan anggap ‘orang luar’ tak boleh senyum harungi banjir

Tular rakaman video memaparkan pasangan mangsa banjir di Kelantan masak atas bot pada banjir kali ini berbeza semasa banjir 2022.

Menurut pengguna TikTok, Fiza yang difahamkan tinggal di Rantau Panjang, dia boleh lagi memasak di atas meja pada dua tahun lalu memandangkan banjir ketika itu di paras lutut.

Perbandingan keadaan banjir tahun ini dan 2022 yang dikongsinya itu menarik perhatian orang ramai yang rata-rata kagum dengan ketabahan masyarakat di Pantai Timur Semenanjung terutamanya di Kelantan menempuh banjir musim monsun.

Sementara itu, dalam satu rakaman audio dengan loghat Kelantan berdurasi 50 saat pula menempelak pihak yang mempersoal mengapa bencana banjir begitu teruk di negeri yang dikuasai Pas itu.

Menurut audio yang menuai banyak reaksi tersebut, mereka yang bukan rakyat Kelantan tidak mampu menempuh ujian banjir memandangkan sudah berdosa pun melalui lisan apabila melihat musibah yang berlaku di negeri itu.

@along754

semoga allah lindungi mangsa banjir 🤲🏼 #fypage #kelantan #banjir @Fyp

♬ Ya Allah – Wali

Set mu tak boleh mengharungi banjir dengan senyum macam orang Kelantan.

Set mu ingat ye sebab set mu tak mampu (hadapi banjir),” tempelaknya diiikuti ribuan komentar rata-rata daripada anak Kelantan yang menyokong pendapat itu.

Malah, wanita berkenaan mengetengahkan naratif bahawa musibah banjir yang berlaku di Kelantan tidak boleh dielak sebaliknya hanya berdoa agar segalanya berada dalam keadaan terkawal.

“Kita hanya boleh doa dan harungi, semoga baik-baik saja,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia mengingatkan adalah lebih baik mereka yang bukan orang Kelantan duduk diam daripada mengeluarkan pendapat berhubung banjir di negeri itu.

Bahkan, anak jati Kelantan itu mengakhiri hujahnya dengan menyindir agar tidak banyak ‘makan kencing’ tanpa diperincikan maksudnya tetapi dapat difahamkan merujuk pada ‘kena tipu’.

“Sebab itu, orang suruh ngaji agama banyak bukan makan kencing banyak,” tempelak wanita Kelantan berkenaan lagi.

Sehingga lewat malam ini, Kelantan kekal paling teruk terjejas akibat musibah banjir berbanding tujuh negeri lain walaupun jumlah mangsa bah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sudah berkurang.

Seramai 58,145 mangsa banjir daripada 18,340 keluarga sedang berlindung di 168 PPS, menurut maklumat portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Walau bagaimanapun, penduduk di Kelantan belum lagi boleh menarik nafas lega apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan bermula petang 3 Disember hingga awal pagi 4 Disember, ribut petir berserta hujan lebat diramal berlaku di Kelantan dan Terengganu.

MetMalaysia juga memaklumkan hujan berterusan akibat luruan monsun akan berlaku dari 8 hingga 14 Disember ini di timur Semenanjung.

Keadaan cuaca ekstrem itu dijangka banyak pihak akan mendorong berlakunya risiko siri gelombang banjir seterusnya selepas ini.

Setakat ini pula, korban banjir di Kelantan sudah mencecah lima orang dengan terakhir pada 1 Disember lalu melibatkan dua lelaki warga emas di Machang yang mahu menjaga lembu dan kambing ternakan.

Kedua-duanya masing-masing berusia 72 dan 78 tahun dari Kampung Kuala Sat dan Kampung Gelung Gajah mulanya dilapor enggan berpindah ke PPS.

Pada 1 Disember lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan tambahan masing-masing RM25 juta untuk membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

Peruntukan tambahan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu bagi tujuan membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung.

Kedua-dua negeri dikuasai Pas tersebut sebelum ini masing-masing menerima RM50 juta, tetapi, jelas Perdana Menteri, peruntukan tambahan diberikan susulan keadaan banjir yang lebih serius.

Ini bermakna Kelantan dan Terengganu masing-masing menerima RM75 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung yang terjejas akibat banjir tahun ini.

@fizahafiza758

Semoga dipermudahkan segala urusan kami 😢🤲🏻Banjir 2024 lagi teruk dari sebelum nie 😭 29/11/2024 #banjirkelantan #prayforkelantan #rantaupanjang

♬ bunyi asal – fizahafiza758 – fizahafiza758

BACA JUGA Terbongkar sudah siapa di belakang wanita yang ‘bising’ isu Kampung Sungai Baru