Ini jumlah kerugian pertanian di Kelantan selepas hampir seminggu banjir
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganggarkan nilai keseluruhan kerugian sektor pertanian di Kelantan akibat banjir kali ini melebihi RM16 juta.
Jumlah kerugian termasuk kerosakan tanaman padi serta sayuran itu dijangka meningkat selepas bancian lengkap diperolehi.
Pejabat KPKM dalam satu kenyataan berkata, angka itu diperoleh ketika lawatan kerja Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu semalam ke negeri itu bagi meninjau situasi semasa banjir dan menilai kesan banjir terhadap sektor pertanian yang terjejas.
“Sebanyak 4,872 hektar kawasan pertanian telah terjejas yang melibatkan 2,156 orang pesawah, petani dan pengusaha makanan.
“Selain itu seramai 661 kakitangan KPKM Inc. Kelantan turut menjadi mangsa banjir kali ini,” kata kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook Mohamad.
Selepas sesi taklimat, menteri turun meninjau kawasan sawah di Jajahan Pasir Mas yang telah ditenggelami banjir, di mana sejumlah 211 hektar kawasan sawah yang beberapa hari lagi akan dituai telah tenggelam sepenuhnya.
KPKM berkata, kerajaan komited untuk mengkaji jenis bantuan yang bersesuaian bagi meringankan beban petani yang terkesan, termasuk pemberian bantuan kewangan dan sokongan pemulihan pasca-banjir.
Dalam usaha menyantuni mangsa banjir, Mohamad turut melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Pangkal Kala dan sempat beramah mesra dengan mangsa yang sedang berlindung di situ.
Dalam lawatan tersebut, beliau telah menyampaikan bantuan makanan sebagai tanda kepedulian kerajaan terhadap kesusahan mereka.
“Kerajaan melalui KPKM akan terus memantau keadaan banjir dengan rapi dan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada golongan sasar KPKM yang memerlukan,” ujar kenyataan itu.
BACA JUGA Negeri banjir tapi pemimpin PN sibuk berkonvensyen buat ramai bengang
Â