Menteri Kesihatan tinjau situasi banjir di Kedah, ziarah empat PPS

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah meninjau situasi banjir di Kedah dan melawat empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semalam.

Empat pusat terbabit adalah PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong, Alor Star, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Kepala Batas, PPS Sekolah Menengah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahawangsa, Jitra dan Sekolah Kebangsaan Bandar Darul Aman di Jitra.

Beliau meninjau keperluan-keperluan yang disediakan di PPS dan melakukan tindakan intervensi dengan memberikan sokongan moral serta psikologi bagi meringankan beban keluarga mangsa banjir.

“Keperluan asas seperti khemah, bantal, selimut, comforter dan tuala serta makan minum sebanyak 4 kali disediakan kepada mangsa.

“Dari aspek Kesihatan, pasukan Perubatan yang terdiri dari doktor, jururawat dan Pembantu Perubatan membuat lawatan ke setiap PPS pada setiap hari untuk memberi rawatan dan perubatan kepada mangsa yang memerlukan,” menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di platform X.

Dalam masa sama, lima fasiliti kesihatan turut terjejas akibat musibah banjir kali ini iaitu Klinik Desa Lengkuas, Klinik Desa Suka Menanti (di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar), serta Klinik Desa Kubang Kesom.

Turut terkesan banjir Klinik Desa Jeneri dan Klinik Desa Kota Bukit (di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Sik) serta dua kuaters staf dan Bahagian Luar Unit Kesihatan Sekolah di Kubang Pasu.

Kedah antara sembilan negeri dilanda banjir dengan PPS pertama mula dibuka di Kubang Pasu sejak 27 November lalu, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Lima daerah terjejas dengan paling teruk di Kota Setar menyaksikan 3,913 mangsa banjir berlindung di 17 PPS setakat petang ini disusuli Kubang Pasu (2,198 mangsa di 11 PPS) dan Padang Terap (597 mangsa di 4 PPS), Pokok Sena (591 mangsa di 4 PPS) dan Sik 274 mangsa di 7 PPS.

BACA JUGA ‘Nak suruh tanak nasi pakai air banjir ke?’, MP PN ini dianggap buat ‘content’