Pingat Wira Negara, cadangan senator iktiraf anggota perkhidmatan awam barisan hadapan yang melawan Covid-19

Senator Dr A Lingeshwaran mencadangkan pengiktirafan diberikan kepada anggota perkhidmatan awam yang menjadi anggota barisan hadapan dalam melawan Covid -19 dengan penganugerahan pingat khas, Pingat Wira Negara.

“Saya memohon kerajaan Malaysia, dengan disokong oleh Kementerian Kesihatan, untuk mengiktiraf setiap anggota perkhidmatan awam dari semua agensi Kerajaan, yang telah terlibat dan bertungkus lumus melawan Covid-19.

“Pengiktirafan tersebut perlulah berbentuk penganugerahan darjah kebesaran yang direka khas; Pingat Wira Negara,” kata Lingeshwaran ketika membahaskan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beliau berkata demikian ketika berdebat berkenaan pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Senator dari Pulau Pinang ini mengambil contoh Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menghadiahkan kereta kepada anggota barisan hadapan Johor di atas pengorbanan mereka.

“Mereka layak mendapat Pingat Wira Negara.”

Malaysia dilanda epidemik Covid-19 sejak 2019 hingga 2023 iaitu selama 4 tahun 10 bulan.

Turut dibangkitkan ialah status pelantikan pembantu kesihatan awam (PKA) yang lulus ke jawatan penolong pegawai kesihatan persekitaran (PPKP) tiga tahun lalu.

“Saya difahamkan bahawa terdapat lepasan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sg. Buloh seramai 21 orang dan ILKKM Sarawak 14 orang sejak Disember 2021 masih lagi menunggu lantikan mereka dan saya telah mengangkat isu ini di Dewan yang mulia ini sejak setahun yang lepas.

“Sudah 3 tahun, Datuk Yang Dipertua, mereka terpaksa menunggu.

“Mengapa berlakunya kelewatan ini? Berapa lama lagi mereka kena tunggu?”

Lingeshwaran turut membangkitkan isu jururawat masyarakat (JM).

“Seramai hampir 1000 JM yang telah lulus beberapa tahun yang lepas, masih menunggu untuk lantikan dan kenaikan pangkat mereka sebagai Jururawat Terlatih.

“Hakikatnya, golongan inilah yang paling terkesan dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang baharu.

“Bolehkah Menteri Kesihatan memberi jaminan bahawa isu ini diselesaikan dalam tahun ini? Atau sebelum sidang dewan yang akan datang.

“Jangan bagi alasan bahawa perkara ini adalah di bawah keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Seterusnya beliau turut membangkitkan isu pemodenan prosedur pencegahan.

“Adakah KKM masih berhasrat untuk membangunkan MySejahtera sebagai super-app? Berapakah kos penyelenggaraan setahun yang dibelanja untuk MySejahtera?

“Adakah sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dapat diintegrasi dengan MySejahtera untuk memudahkan rakyat?

“Baru-baru ini KKM telah mengumumkan bahawa sedang mengkaji perkhidmatan ambulans berkonsepkan “uberisation” dengan menyatukan perkhidmatan ambulans awam dan swasta melalui satu aplikasi. Mengapa perkhidmatan ini tidak boleh disediakan di bawah MySejahtera?

Isu perkhidmatan ambulans dibangkitkan kerana perkhidmatan ambulans di Pulau Pinang menggunakan dua sistem.

Panggilan kecemasan ambulans dikendalikan melalui satu system web-based iaitu myPHC 2.0 manakala perkhidmatan ambulans inter-facility transfer dibuat dengan system i-SPRINT.