Bukan YB Pas beri, pempengaruh ini salur bantuan untuk 7,000 mangsa banjir
Pempengaruh Khairul Aming menuai pujian orang ramai apabila menyalurkan bantuan untuk 7,000 mangsa banjir kritikal di pusat penempatan sementara (PPS) SK Pengkalan Kubor 2.
Beliau memberitahu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia datang bersama dua lori besar untuk membawa bantuan tersebut ke lokasi PPS terbabit.
Menurutnya, selain barangan makanan dan botol minuman mineral, bantuan berupa pakaian dan ubat-ubatan turut dibekalkan kepada mangsa terbabit yang terkandas sejak beberapa hari lalu.
Usahawan tersohor dengan jenama Sambal Nyet sejak 2021 itu turut berkongsikan setiap gerak kerja bantuan mangsa banjir menerusi sesi penstriman langsung di platform TikTok beliau.
Menerusi perkongsian beliau di media sosial, rata-rata menghargai dan mendoakan pemuda berusia 32 tahun berkenaan atas bantuan yang disalurkan.
Ada yang menyifatkan Khairul Aming yang juga anak jati Kelantan mengendalikan bantuan kepada mangsa banjir secara bersistematik sepertimana beliau menguruskan perniagaannya.
“Semoga dipermudahkan segala urusan semua serta sentiasa dalam perlindungan Allah. Aamiin.
“Teruskan misi bantuan KA (Khairul Aming) dan team, semoga dipermudahkan segala urusan dan semoga semua mangsa mangsa banjir terus kuat dan tabah.
“Nampak di sini ilmu dan pengalaman itu penting. Dari awal KA dan pasukannya urus sistematik. Teratur dan nampak smooth,” demikian antara komentar positif warga maya.
BACA JUGA ‘Nak suruh tanak nasi pakai air banjir ke?’, MP PN ini dianggap buat ‘content’