Semua calon SPM selesai dipindahkan ke asrama lebih selesa, tiada tercicir – Fadhlina
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah berjaya memindahkan kesemua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di semua negeri yang terjejas banjir, tanpa ada yang tercicir.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dengan bantuan pelbagai agensi kesemua calon yang terperangkap berjaya ditempatkan di asrama dengan diberi kemudahan terbaik termasuk disediakan buku, internet dan komputer.
“Alhamdulillah semua calon SPM kita berjaya pindahkan ke tempat selamat iaitu ke asrama menerusi Op Payung dengan bantuan pelbagai agensi.
“Semua calon yang ditempatkan di asrama diberi kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer disediakan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas hari ini, memetik TV3.
Sementara itu di Dewan Rakyat pula, Timbalan Menteri Pendidikan memberitahu bahawa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan terlibat banjir akan menentukan sama ada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 boleh diteruskan atau sebaliknya.
Ini kerana kata Wong Kah Woh, PPD merupakan pihak yang lebih mengetahui situasi di kawasan masing-masing.
“Pihak pengurusan KPM yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Nibong Tebal (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) telah mengadakan perbincangan dan mendapat pandangan dengan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD yang merupakan pihak yang terdekat dengan kawasan banjir dan tahu dengan keperluan banjir.
“Pihak KPM berpendirian seperti dalam sidang akhbar yang telah dikendalikan oleh Menteri pada hari semalam.
“Pihak KPM akan memastikan calon-calon SPM ini bersedia dengan peperiksaan yang dijadualkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ali Anak Biju (PN-Saratok) pada sesi jawab lisan, pagi tadi.
BACA JUGA Banjir belum surut dah disembur air, ADUN Pas teruk kena kecam