Isu kewangan, banjir fokus sesi pertanyaan perdana menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menjawab dua isu yang paling terkesan buat rakyat kebanyakan dalam waktu pertanyaan perdana Menteri pagi ini iaitu isu kewangan dan bencana banjir.

Isu pertama ialah berkaitan kenaikan dan pencegahan jenayah pinjaman wang tidak berlesen dan penipuan kewangan dalam talian dan bersemuka.

Isu ini dibangkitkan oleh Suhaizan Kaiat (PH-Pulai).

Datuk Mumtaz Nawi (PN-Tumpat) pula membangkitkan isu bencana banjir.

Beliau bertanya sama ada Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan akan dipercepatkan untuk membolehkan semua kemudahan mitigasi banjir mega disegerakan termasuk LPT ke Pantai Tinur sehingga ke Tumpat di Kelantan.

Sesi jawab lisan pula menyaksikan Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) bertanya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan mekanisme terkini berkaitan sumber nadir bumi (REE) yang membolehkan hasil bumi mentah tersebut diekspot dan menjana pendapatan kerajaan negeri.

Azli Yusof (PH-Shah Alam) pula bertanya Perdana Menteri berkenaan status rayuan tuntutan pampasan yang lebih adil oleh kumpulan minoriti yang menolak tawaran pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu Kuala Lumpur yang mana mereka telah diberikan pampasan hanya sepertiga dari pampasan yang diterima oleh kumpulan yang menerima tawaran pampasan oleh pemaju di peringkat awal.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) pula bertanya mengenai pelan hala tuju negara bagi memacu kecerdasan buatan dan status penyediaan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Â