Vivy, suami bakal didakwa 5 Disember ini

Pengasas FashionValet Sdn. Bhd., Datin Seri Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 5 Disember ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Buletin Utama TV3 sebentar tadi.

“SPRM hari ini telah menjalankan tangkapan terhadap pasangan berkenaan dan telah diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah pada hari Khamis.

“Siang tadi saya rasa dalam tengah hari tadi lebih kurang di pejabat SPRM dan telah dibebaskan dengan jaminan SPRM,” katanya.

Sebelum ini, pasangan terbabit disiasat berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Siasatan itu susulan pendedahan Kementerian Kewangan bahawa Khazanah dan PNB hanya memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam Fashion Valet kepada syarikat bumiputera, NXBT Partners pada 2023.

Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

BACA JUGA Heboh dapat biskut dan mi segera saja, penghulu Pas catu bantuan mangsa banjir sumbangan Khairul Aming

Â